SNBJ, Stadium Hang Jebat pilihan final Piala FA?
Setelah Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC menempah tempat ke perlawanan akhir Piala FA hujung minggu lalu, teka-teki mengenai venue perlawanan mula hangat menjadi tanda tanya.
Antara stadium yang dicanang bakal menjadi venue bagi piala berprestij itu adalah Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dan Stadium Hang Jebat, Melaka.
Untuk beberapa edisi sebelum ini, SNBJ dan Stadium Shah Alam sering menjadi lokasi penganjuran perlawanan akhir Piala FA.
Kini perlawanan penentuan antara dua gergasi Liga Malaysia itu mungkin bakal ditentukan di lokasi yang mempunyai kapasiti yang lebih kecil jika Standium Hang Jebat dipilih.
Jika diberi pilihan, sudah tentulah SNBJ dilihat lebih sesuai menganjurkan perlawanan itu atas beberapa faktor.
Pertama, ia mempunyai kapasiti sebanyak 87,411 tempat duduk yang semestinya penting untuk memuatkan penyokong kedua-dua pasukan.
Dengan jumlah penyokong kedua-dua pasukan yang hadir di stadium pada perlawanan separuh akhir tempoh hari mencatatkan ‘full house’, perlawanan akhir nanti harus dilangsungkan di stadium yang mempunyai kapasiti seperti SNBJ.
Sekiranya ia diadakan di Stadium Hang Jebat dengan kapasiti 40,000 sahaja, sudah pasti kesesakan teruk akan berlaku dan ramai yang tidak berpeluang menyaksikan perlawanan itu.
Selain itu, SNBJ dilihat merupakan lokasi yang lebih strategik bagi kedua-dua pasukan dari segi lojistik kerana berada di tengah berbanding Stadium Hang Jebat yang lebih dekat dengan Johor.
Mungkin apa yang menjadi isu adalah keadaan padang SNBJ yang ketika ini masih menjadi tanda tanya dan ‘rahsia’ selepas ditutup bagi kerja-kerja baik pulih.
Namun beberapa konsert dijadualkan bakal berlangsung di stadium tersebut bermula dengan konsert Billie Eilish pada 18 Ogos ini, Jay Chou (15 Januari 2023), dan Blackpink (4 Mac 2023).
Sekiranya konsert-konsert tersebut boleh dianjurkan, tiada masalah rasanya untuk mengadakan satu perlawanan bola sepak.
Namun, jika memang betul SNBJ ‘tidak layak’ untuk menganjurkan perlawanan itu, Stadium Hang Jebat mungkin boleh dipertimbangkan asalkan keadaan padang menepati standard perlawanan akhir.