MFL mungkin tak dapat ikut cadangan AFC ubah kalendar Liga Malaysia seperti format liga Eropah

1,995

Baru-baru ini Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John telah mengeluarkan kenyataan dengan memberi cadangan supaya kalendar Liga Malaysia dapat diubah mengikut format seperti di liga Eropah.

Cadangan itu dilontarkan selepas pihak Malaysian Football League (MFL) mengumumkan penstrukturan Liga Malaysia pada musim depan yang mana akan menyaksikan Liga Super akan mempunyai 18 pasukan dan saingan Liga Perdana dimansuhkan.


Beliau mencadangkan agar musim baru Liga Malaysia bermula dari bulan Ogos hingga Mei setiap musim supaya ia selari dengan rombakan kalendar AFC baru-baru ini.

Tidak dinafikan cadangan oleh AFC adalah satu cadangan yang cukup baik dan sememangnya disambut baik oleh pihak MFL, namun realitinya rombakan kalendar Liga Malaysia untuk musim depan berkemungkinan besar tidak akan berlaku.

Kebanyakan pasukan masih lagi ‘terkejut’ dengan penstrukturan liga yang mana ia bukan sahaja akan menambah bilangan perlawanan untuk setiap pasukan, tetapi juga akan berlaku peningkatan kos operasi.

Tambahan pula Malaysia adalah sebuah negara yang cukup unik berbanding negara-negara lain di rantau Asia Tenggara mahu pun di Eropah, oleh itu perubahan kalendar Liga Malaysia untuk musim depan adalah sesuatu yang agak mustahil untuk dilakukan.

Ketika temubual eksklusif bersama Harimau Malaya baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam sendiri mengakui agak mustahil untuk pihaknya mengubah kalendar Liga Malaysia musim depan kerana banyak faktor yang perlu diambil kira.

Beliau bagaimanapun tidak menolak Liga Malaysia akan mengubah kalendar seperti liga di Eropah tetapi ia akan dilakukan secara berfasa dan bukannya secara mengejut.

Terdapat banyak faktor yang MFL perlu pertimbang sebelum mereka mengambil keputusan untuk melakukan perubahan kalendar.

Antaranya adalah tidak semua pasukan yang mempunyai fasiliti lengkap dan juga stadium sendiri, sebagai contoh seperti pasukan Pantai Timur pasti tidak akan dapat bermain pada musim monsoon berikutan tidak mempunyai stadium berbumbung.

Selain dari masalah fasiliti, MFL juga perlu mengikut peraturan dan warta negeri yang mana setiap negeri tidak sama. Contohnya negeri Terengganu, tiada sebarang perlawanan bola sepak atau acara boleh diadakan pada hari Jumaat.

Tambahan pula, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai cuti umum paling banyak di rantau Asia Tenggara dan sesetengah negeri seperti Kelantan tidak membenarkan sebarang acara sukan berlangsung sepanjang bulan Ramadhan.

Oleh itu, pasukan TRW Kelantan FC dan Kelantan United perlu bermain di luar negeri sendiri dan ia pasti akan memberi kesan kepada pengurusan pasukan berikutan berlakunya pertambahan kos.

Pada masa sama penyokong juga akan berasa tidak gembira berikutan tidak dapat menyaksikan pasukan kesayangan beraksi di laman sendiri.

Selain itu, jika perubahan kalendar Liga Malaysia berlaku ia pasti akan menjejaskan kontrak pemain sedia ada ketika ini berikutan kontrak pemain sedia ada ketika ini akan berakhir pada November dan ini akan menimbulkan kekeliruan bukan sahaja di pihak pengurusan tetapi juga pemain.

Banyak lagi faktor yang perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan drastik diambil, oleh itu adalah tepat apabila pihak MFL memberitahu mereka akan melakukan perubahan dalam kalendar Liga Malaysia tetapi secara berfasa.

Ia adalah tindakan yang tepat supaya dapat mengelak pelbagai masalah besar yang akan berlaku jika kalendar di ubah semata-mata mahu ikut cadangan daripada pihak AFC.

Bagi peminat bola sepak yang ‘cetek’ ilmu sudah pasti akan menyalahkan pihak MFL kerana ‘kolot’ dan tidak mahu ikut negara lain ubah kalendar liga, tetapi bagi mereka yang celik dengan bola sepak Malaysia sudah pasti mereka faham kesukaran yang dihadapi pihak MFL.

Perubahan kalendar Liga Malaysia sememangnya akan berlaku juga nanti, tetapi ia hampir pasti tidak akan berlaku pada musim depan sebaliknya mungkin akan berlaku pada musim 2024.

Bagaimanapun dalam dunia bola sepak ini apa sahaja boleh berlaku dalam sekelip mata, jadi sama-sama kita tunggu dan lihat.