VAR penghalang JDT anjur pusingan kalah mati ACL

2,009

Kurang dua minggu lagi, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan kembali beraksi di saingan AFC Champions League (ACL) menentang Urawa Red Diamonds dalam perlawanan pusingan 16 terakhir.

Sebelum ini, kelab dari Jepun itu dijadualkan akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Saitama.


Namun, venue bagi perlawanan itu terpaksa diubah ke lokasi lain selepas peningkatan kes Covid-19 di Jepun yang mencatatkan lebih daripada 230,000 kes harian.

Susulan itu, ramai peminat bola sepak tempatan beranggapan bahawa keistimewaan tuan rumah secara automatik akan diberi kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun mungkin ramai yang terlepas pandang syarat wajib yang telah ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi pusingan kalah mati ACL.

Menurut AFC, venue perlawanan wajib memiliki teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR), yang jelas tidak dimiliki oleh JDT.

Jadi hasrat penyokong JDT untuk terus memberi sokongan padu seperti yang mereka lakukan pada peringkat kumpulan April lalu tidak kesampaian.

Perlawanan itu bagaimanapun akan tetap dilangsungkan di Jepun selepas Urawa Reds menyatakan bahawa tiket perlawanan akan dijual di Sapporo dengan Stadium Shibuya 2 akan menganjurkan perlawanan tersebut.

Pemilihan lokasi tersebut dibuat berikutan situasi Covid-19 di kawasan itu lebih terkawal berbanding di Saitama.

J-League juga memang sudah menggunakan teknologi VAR, jadi tiada masalah untuk mengadakan perlawanan tersebut di stadium berdekatan yang lain.

Mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi, Liga Super akan turut membawa masuk teknologi VAR dan harapan peminat bola sepak negara untuk menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah ACL menjadi kenyataan.

Berdasarkan ranking AFC ketika ini, pasukan Malaysia mungkin akan mempunyai empat pasukan di ACL bermula musim 2024/25, jadi mungkin inilah masanya untuk mempertimbangkan penggunaan teknologi itu dalam saingan liga tempatan.