Wakil eFootball JDT, Nor Haikal sumbang emas untuk julang negara di tempat pertama

1,587

Pemain eFootball Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamad Nor Haikal telah berjaya menempa nama di arena antarabangsa selepas berjaya merangkul pingat emas di Kejohanan E-Sukan Komanwel tahun ini.

Kejayaan Haikal menundukkan pemain dari Scotland, Gary McInnes 2-0 pada aksi final menghadiahkan kilauan pingat emas pertama buat Malaysia di kejohanan ini.


Haikal membuktikan kemampuan beliau selaku antara watak utama dalam kebangkitan industri E-Sukan di Malaysia.

Pemain kelahiran Kota Tinggi itu adalah salah seorang pemain yang telah dipilih untuk mewakili pasukan JDT pada Champions eFootball pada Oktober tahun lalu.

Pada kejohanan tersebut, beliau telah bergandingan bersama pemain bola sepak JDT, Mohamadou Sumareh.

Duo ini telah berhadapan dengan beberapa pasukan ternama dari Asia Tenggara seperti Buriram United dari Thailand dan Nagaworld FC dari Kemboja.

Selain menempa nama di peringkat kelab, Haikal merupakan antara pemain utama yang sering dipilih untuk menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, beliau pernah mewakili negara pada temasya Sukan Asia 2018 yang telah diadakan di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Kecemerlangan Haikal bersama seorang lagi pemain, Muhammad Khairul berjaya membawa pasukan Malaysia berada di kedudukan empat teratas di Asia selepas tewas di tangan pasukan Vietnam pada aksi penentuan pingat gangsa.

Pada masa yang sama, kehebatan pemain ini juga bukan sekadar berjaya menarik minat kelab tempatan malah khidmat beliau pernah dipancing oleh kelab luar.

Pada tahun 2019, beliau telah menyertai pasukan Port FC dari Thailand untuk mengharungi saingan Toyota E-League Pro.

Pencapaian ini menjadikan beliau sebagai pemain pertama dari Malaysia yang beraksi Liga Thailand.

Selain Haikal, skuad negara berjaya mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan di Kejohanan E-Sukan Komanwel ini selepas berjaya memperoleh tiga pingat emas secara keseluruhan.

Pasukan Dota 2 negara berjaya memperagakan aksi berkualiti pada kejohanan ini selepas berjaya merangkul dua pingat emas menerusi dua pasukan, Wanita dan Terbuka.

Kejayaan ini meletakkan pasukan negara berada di kedudukan pertama mengatasi tujuh lagi negara lain seperti tuan rumah England, Wales dan Ireland Utara.

Lebih manis, ini merupakan kali pertama kejohanan ini diadakan bersempena penganjuran Sukan Komanwel yang berlangsung di Birmingham.

Diharap agar kejayaan bermakna ini mampu membuka mata ramai pihak, bukan sahaja JDT, untuk terus memberikan sokongan dalam usaha membangunkan industri E-Sukan negara di masa hadapan.

Kumpulan pemain berkualiti yang dimiliki dalam acara E-Sukan mampu menjulang nama negara ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini.