Akram bersedia jika dipanggil wakili skuad Harimau Malaya, yakin boleh beri komitmen 100%
Pemain tengah pasukan KL City FC, Akram Mahinan percaya mampu beri aksi yang baik sekiranya khidmatnya diperlukan oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dalam masa terdekat.
Nama Akram sering disebut-sebut sebagai pemain baru yang akan dipanggil ke kem latihan skuad negara ekoran daripada kecederaan yang dihadapi oleh pemain tengah negara, Syamer Kutty Abba yang berjaya beraksi cemerlang pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini.
“Bagi saya, kalau ada rezeki saya sentiasa bersedia pada bila-bila masa sekiranya di panggil bermain untuk pasukan kebangsaan.
Mungkin permainan kami berbeza tetapi saya yakin dapat memberi komitmen 100% sekiranya dipanggil mewakili negara,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada masa yang sama, pemain berusia 29 tahun ini sedang menjalani persiapan terakhir sebelum aksi bersama pasukan KL City menentang wakil dari Vietnam, Viettel FC di pusingan separuh akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN.
Meskipun pasukan lawan kurang konsisten di saingan liga domestik, Akram tidak memandang perkara ini sebagai kelebihan besar kepada para pemain untuk berasa terlalu selesa.
Beliau perlu mengambil tanggungjawab yang besar dalam mengemudi bahagian tengah pasukan The City Boys dalam merencana serangan merbahaya ke arah kubu lawan.
“Bagi saya, kami tidak boleh mengambil mudah prestasi semasa pasukan Viettel FC, kerana ia bukanlah perlawanan yang senang.
Mungkin mereka kalah di liga, tetapi mereka ingin melakukan comeback di saingan Piala AFC ini seperti kami.”
Ketenangan Akram mengawal permainan akan membantu pasukan memberi saingan yang hebat kepada naib juara Liga Vietnam musim lepas ini untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir.
Terdahulu, pemain kelahiran Kedah ini telah berjaya menghasilkan satu bantuan jaringan selepas diturunkan pada kedua-dua aksi peringkat kumpulan.
Kemenangan ke atas pasukan Viettel mampu menjadi pengubat kepada kekecewaan yang dihadapi oleh kelab ini pada aksi terakhir Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Para pemain perlu memastikan aksi yang lebih berkualiti dapat diperagakan pada perlawanan esok (10 Ogos) bagi menghadiahkan kegembiraan kepada penyokong setia pasukan.
“Kami dah lupakan peristiwa kekalahan teruk kepada pasukan JDT sebelum ini.
Kami juga berusaha untuk memperbaiki segala kesilapan yang telah dilakukan pada perlawanan tersebut untuk mempamer aksi yang lebih baik di kejohanan Piala AFC.”
Viettel bukanlah lawan yang mudah kerana pasukan ini merupakan juara Liga Vietnam pada tahun 2020 serta mempunyai pengalaman beraksi di saingan AFC Champions League (ACL) pada musim 2021.