Bojan Hodak suarakan keyakinan untuk menewaskan Viettel FC

293

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak menyuarakan keyakinannya terhadap pasukannya menjelang perlawanan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC menentang Viettel FC yang akan berlangsung di Vietnam Rabu ini.

Hodak berkata demikian selepas ketiadaan ramai pemainnya yang mengalami kecederaan kini sudah pulih dan sudah bersedia untuk diturunkan.


“Berita baik untuk kami adalah beberapa pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini dan tidak dapat diturunkan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti Zhafri Yahya, Ryan Lambert, Kenny Pallraj sudah kembali bersama pasukan.

Malah Paulo Josue juga semakin cergas dari sebelum ini jadi saya kini mempunyai banyak pilihan pemain termasuk pemain import,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pengendali dari Croatia itu bagaimanapun menyuarakan kebimbangan kondisi padang di sana berikutan cuaca di Kuala Lumpur ketika ini yang sering hujan telah menjejaskan kualiti latihan pasukan berikutan padang menjadi sangat lembut.

Dalam pada itu, Hodak juga mengakui kehadiran Kenny dalam pasukan amat ditagih terutamanya apabila mereka bakal menentang pasukan kuat seperti Viettel.

“Kenny adalah seorang pemain yang membawa ‘vibe’ yang cukup positif dalam pasukan dan beliau bersama Akram Mahinan dan Giancarlo Gallifuoco sangat penting untuk skuad kerana mereka ini bukan sahaja mempunyai semangat pejuang, tetapi sentiasa memberi motivasi kepada rakan sepasukan lain.”

Sementara itu, bagi pemain tengah yang juga ketua pasukan, Paulo Josue berharap pasukan KL City dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan berjaya melangkah ke final Zon ASEAN Piala AFC.

Beliau yang bersependapat dengan Hodak, menyuarakan keyakinannya yang mereka mampu mendapat keputusan positif menentang pasukan Viettel esok berikutan beberapa tonggak utama yang sebelum ini mengalami kecederaan sudah dapat diturunkan.

“Kami kini berada dalam keadaan yang cukup baik. Walaupun perlawanan sebelum ini kami tewas besar di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT), tapi sudah pun melupakannya kerana ketika ini ramai pemain utama tiada.

Namun kini semua sudah kembali dan saya harap kami dapat cipta kejayaan esok. Saya juga berharap agar Kedah dapat menang sekaligus final Zon ASEAN nanti akan menyaksikan dua pasukan dari Malaysia berentap. Ia adalah perkara yang cukup baik untuk bola sepak Malaysia,”

katanya.

Dalam pada itu, walaupun usianya sudah mencecah 33 tahun, namun Josue masih lagi mahu terus bermain bola sepak dan berharap agar akan terus dapat kepercayaan jurulatih dan pengurusan pasukan untuk terus kekal dalam pasukan.

Malah beliau yang bebas dari sebarang kecederaan yakin dengan mampu terus menyumbang tenaga buat The City Boys pada musim hadapan.