Semua serba tak kena, harapan Kelantan United FC tamatkan saingan Liga Perdana di tangga teratas makin malap

1,287

Selepas pasukannya gagal menampilkan aksi yang baik dalam beberapa perlawanan, ketua jurulatih Kelantan United FC, Syamsul Saad akhirnya direhatkan daripada tugasnya, sekaligus menjawab misteri kehilangan beliau ketika perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II.

Selepas permulaan yang kukuh pada awal musim, Kelantan United gagal mencatatkan kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir liga dengan kemenangan kali terakhir adalah ke atas Perak FC April lalu.


Menurut pihak pengurusan, beliau akan bersama kelab itu sehingga kontraknya tamat hujung musim ini dan sementara itu, beliau akan diberi tanggungjawab lain.

Jawatan ketua jurulatih pula akan dipangku buat sementara waktu oleh penolong ketua jurulatih, Sazami Shafii sehingga pengganti ditemui.

Ini adalah satu tamparan yang hebat buat Kelantan United setelah digembar-gemburkan sebagai antara pencabar hebat kejuaraan pada awal musim.

Pada satu ketika, mereka juga berada di landasan tepat untuk menamatkan musim di tangga tiga teratas liga.

Tetapi Kelantan United kini berada di tangga kelima, berkongsi 18 mata dengan PDRM FC di tangga keenam tetapi kurang satu perlawanan, dan berada 14 mata di belakang pendahulu liga, Kelantan FC.

Walaupun bermain di gelanggang sendiri untuk baki saingan liga, aura ‘This Is Kota Bharu’ gagal dijelmakan oleh Kelantan United, tidak seperti Kelantan yang kini semakin selesa di puncak liga.

Berbaki empat perlawanan lagi, Kelantan United mungkin akan terus menggunakan khidmat Sazami sehingga akhir musim dan melantik pengganti baru bermula musim depan.

Kelantan United juga bernasib baik kerana persembahan buruk mereka tidak akan meranapkan impian mereka untuk ke Liga Super musim depan kerana penstukturan liga yang akan berlaku.

Namun, ini juga satu tugas yang berat buat Sazami untuk menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tangga tiga teratas.

Beliau harus kembali menaikkan moral para pemain untuk mencari rentak kemenangan yang sudah lama tidak dirasai oleh pasukan.

Ini juga adalah peluang buatnya untuk membuktikan kepada pihak pengurusan bahawa beliau layak untuk mengemudi pasukan itu di Liga Super musim hadapan.