Azeem-Boonson ketuai kebangkitan pelari pecut Asia Tenggara, hidupkan kembali perseteruan dua negara
Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) telah memperlihatkan kejayaan pelari pecut dari Asia Tenggara melakukan kejutan menerusi rekod-rekod baru yang berjaya dicatatkan.
Pada aksi di final, dua pelari dari ASEAN telah berjaya mempamerkan larian bertenaga selepas berjaya mendapat tempat kelima teratas pada acara tersebut.
Dua pelari ini adalah termasuk pelari pecut muda negara, Azeem Fahmi serta atlet muda Thailand, Puripol Boonson.
Lebih membanggakan, kedua-dua pelari ini telah berjaya mempamer kebangkitan menerusi catatan masa terbaru, 10.09 saat yang direkodkan masing-masing pada acara 100 meter.
Persaingan sengit ini dilihat akan menghidupkan kembali perseteruan di antara dua negara ASEAN, Malaysia dan Thailand yang telah sekian lama menyepi.
Sebelum ini, persaingan dapat dilihat menerusi bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek dan legenda pecut Thailand, Reanchai Seeharwong yang sering menggegarkan arena antarabangsa.
Meskipun perubahan zaman telah berlalu, kemunculan dua pelari muda, Azeem dan Boonson ini akan kembali mewarnai saingan pecut ASEAN serta mampu melangkah lebih jauh untuk melakukan kejutan di peringkat yang lebih tinggi.
Tambahan pula, persaingan sihat ini dilihat akan berlanjutan sekurang-kurangnya selama 10 tahun ke depan berdasarkan umur mereka yang begitu muda.
Azeem merupakan atlet negara berusia 18 tahun yang semakin meningkat naik manakala Boonson yang semakin cemerlang di kejohanan-kejohanan dunia baru mencecah usia 16 tahun.
Kedua-dua pelari ini bukan sahaja berjaya memperbaiki rekod terbaik peribadi malah mereka juga telah memecahkan beberapa rekod di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.
Dengan catatan 10.09 saat yang dicapai oleh Azeem pada peringkat saringan acara 100 meter yang lalu, membolehkan beliau mengatasi rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang oleh bekas jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18 saat.
Tidak terhenti di situ, Azeem turut berjaya beraksi cemerlang pada peringkat saringan dalam acara 200 meter selepas berjaya memecahkan rekod B-20 kebangsaan menerusi catatan masa 20.83 saat.
Catatan masa ini telah menjadikan Azeem pelari kedua terpantas negara dalam acara tersebut di belakang seorang lagi pelari 200 meter negara, Alexander Russel Nassir yang sebelum ini mencatatkan larian, 20.77 saat pada Kejohanan Trek Klasik Queensland pada tahun 2019.
Pada masa yang sama, Boonson turut mencatat rekod baru menerusi kejayaan beliau menamatkan larian dengan catatan masa 10.09 saat pada separuh akhir 100 meter.
Pencapaian tersebut telah membolehkan pelari cilik itu memegang rekod baru untuk peringkat B-18 dunia.
Walaupun berkongsi catatan masa yang sama, Azeem tidak dapat disenaraikan dalam rekod ini kerana pihak World Athletics hanya mengambil kira rekod yang dilakukan oleh atlet yang berusia 17 tahun ke bawah.
Kedua-dua atlet ini akan terus berusaha meningkatkan kualiti larian mereka untuk menghadapi kejohanan yang lebih besar selepas ini.
Dalam pada itu, Azeem difahamkan telah membuat keputusan untuk berlatih dan menyambung pelajaran beliau di Amerika Syarikat selepas mendapat tawaran dari tiga buah universiti yang berpengkalan di Minnesota, Houston dan Oregon.
Ada kemungkinan yang besar untuk melihat Azeem memilih Universiti Houston sebagai destinasi latihan terbaru beliau.
Pemilihan ini akan membolehkan Azeem dilatih oleh pemenang sembilan pingat emas Sukan Olimpik, Carl Lewis yang kini bergelar sebagai ketua jurulatih trek dan balapan di universiti tersebut.
Sekiranya perkara ini benar terjadi, pelari muda dari Bagan Datuk tersebut pasti dapat terus menggilap bakat yang dimiliki serta mempunyai peluang besar untuk terus menyinar dan menggegarkan acara pecut dunia di masa hadapan.
Azeem selepas ini akan terus melakukan latihan dan persiapaan menuju ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang akan berlangsung pada September ini di Kuala Lumpur.