Magis duo legenda Pahang bawa kemenangan berturut-turut, mampu pujuk penyokong kembali ke stadium

71

Kemenangan demi kemenangan dapat dicapai selepas kemasukan dua bekas legenda pasukan Pahang ke dalam barisan kejurulatihan skuad Sri Pahang musim ini.

Kehadiran ketua jurulatih, Dollah Salleh dan penasihat teknikal, Fandi Ahmad setakat ini berjaya menghasilkan solusi berkesan untuk kembali membawa pasukan berada di landasan terbaik.


Sejak dilantik, duo ini berjaya membawa tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super, termasuk kemenangan terbaru 3-0 ke atas pasukan Petaling Jaya City FC pada aksi minggu ke-15 musim ini.

Lebih manis, kemenangan ini menjadi hadiah terbaik kepada Fandi bersempena dengan Hari Kebangsaan Singapura yang disambut pada 9 Ogos.

Fandi yang merupakan legenda bola sepak Singapura telah berjaya menggunakan pengalaman beliau melatih beberapa pasukan sebelum ini dalam membantu Dollah membentuk semula keserasian pasukan.

Mereka berjaya memanfaatkan kehadiran dua pemain import, Steven Rodriguez serta Manuel Hidalgo dalam memperkuatkan barisan serangan pasukan.

Rodriguez yang dipinjamkan dari kelab Independiente Medellin semakin mempamerkan taringnya selaku penyerang utama selepas berjaya menjaringkan lima gol pada empat perlawanan terakhir.

Kebangkitan yang sama turut ditunjukkan oleh Hidalgo yang berjaya mencatat nama selaku salah seorang penjaring pada perlawanan terakhir.

Kelincahan Hidalgo di bahagian sayap semakin dapat dilihat selepas beliau berjaya menghasilkan dua assist penting pada dua kemenangan terakhir pasukan di dalam saingan liga.

Kemenangan ini menjulang pasukan Sri Pahang untuk memperbaiki kedudukan di tangga pertengahan liga.

Situasi ini jelas memperbaiki kedudukan di awal musim yang dilihat sedikit goyah dan mengecewakan sebilangan penyokong setia pasukan.

Terdahulu, selepas kekecewaan tewas enam kali pada awal musim, penyokong pasukan telah ‘meletus’ menyuarakan kehampaan mereka kepada pemain selepas kekalahan 3-0 kepada pasukan Negeri Sembilan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi Jun lalu.

Selepas dari peristiwa tersebut, dilihat jumlah kehadiran penyokong ke stadium turut berkurang.

Kini, pasukan Sri Pahang telah berjaya keluar dari kelompok bawah untuk berada di kedudukan keenam selepas mencatatkan lima kemenangan dan dua seri selepas 14 perlawanan.

Semoga dua jurulatih berpengalaman ini dapat terus membantu pasukan untuk mengekalkan konsistensi yang telah dicapai setakat ini bagi memujuk kembali para penyokong untuk turun memberikan sokongan.

Prestasi yang baik sehingga ke penghujung musim akan memastikan gelanggang keramat, Stadium Darul Makmur akan kembali dipenuhi oleh laungan dan sorakan kegembiraan daripada penyokong.

Tambahan pula, sokongan daripada penyokong akan terus memberikan semangat kepada pemain tatkala perubahan format liga yang akan berlaku pada musim depan yang menjanjikan aksi yang lebih mencabar kepada semua pasukan di Liga Malaysia.