Houston atau Auburn, Azeem Fahmi masih belum membuat pilihan untuk masa depan

694

Pemegang rekod 100 meter kebangsaan, Azeem Fahmi belum mempunyai kata putus tentang destinasi pilihan beliau selepas ini.

Terdahulu, beliau telah menerima beberapa tawaran daripada universiti di Amerika Syarikat untuk beliau melanjutkan pelajaran ekoran daripada pencapaiannya serta kejayaan beliau mencapai keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.


Tambahan pula, atlet berusia 18 tahun tersebut terus mempamerkan aksi menyakinkan selaku pelari pecut dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Kalau dari segi pelajaran dan latihan, saya ada juga dapat tawaran dari Universiti Auburn, kalau ikut dari segi akademik universiti mendahului institusi yang lain.

Kalau Houston, memang kita tahu reputasi universiti tersebut ditambah dengan kehadiran bekas jaguh Sukan Olimpik, Carl Lewis sebagai jurulatih,”

katanya.

Dari satu sudut, dilihat Azeem akan memiliki kelebihan yang lebih besar dari segi pembangunan potensi beliau sebagai seorang atlet.

Fasiliti dan barisan kejurulatihan berkualiti yang dimiliki oleh institusi tersebut mampu meningkatkan kemampuan Azeem di masa hadapan.

Pemenang sembilan pingat emas Sukan Olimpik, Carl Lewis telah dilantik sebagai ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Houston bulan lalu.

“Jika saya memilih Houston adalah kerana adanya komuniti Islam yang besar di sana, jadi lebih terjamin untuk saya.

Dari segi latihan juga telah terbukti kerana mereka telah berjaya hasilkan beberapa orang atlet pecut dunia.”

Walau apa pun keputusan yang dilakukan, Azeem tetap mempunyai kelebihan kerana kedua-dua institusi ini berada dalam Divisyen 1.

Perkara ini akan membuka peluang yang lebih besar kepada pelari dari Perak ini untuk terus beraksi di kejohanan yang lebih berprestij selepas ini.

Pada masa yang sama, Azeem turut mengakui kehebatan seteru utamanya dari Thailand, Puripol Boonson.

Atlet muda berusia 16 tahun itu akan terus menjadi pesaing utama untuk Azeem pada kejohanan-kejohanan yang akan datang selepas ini.

“Puripol adalah salah seorang pelari yang cukup berbakat, dia juga merupakan atlet termuda dalam saingan.

Bagi saya, dalam masa terdekat saya dapat melihat kebangkitan ramai pelari dari Asia yang boleh memecahkan rekod dunia.”

Selepas ini, Azeem akan terus kembali ke trek larian untuk menyiapkan diri beliau bagi menghadapi saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang akan berlangsung September ini.