Kita sebagai ibu bapa hanya beri panduan, serah kepada Azeem tentukan masa depannya – Ibu bapa Azeem Fahmi

670

Pelari pecut negara, Azeem Fahmi telah berjaya mencipta sensasi selepas berjaya memecahkan rekod 100 meter kebangsaan menerusi catatan masa 10.09 saat yang dicapai pada Kejohanan Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia.

Susulan kejayaan ini, kesemua peminat sukan di Malaysia sedang menantikan keputusan yang bakal dibuat oleh pelari muda tersebut berhubung masa depan beliau selepas ini.


Bapanya, Fahmi Tajuid serta ibunya, Norazah Ibrahim enggan mempengaruhi keputusan anak mereka dan ingin memberi peluang sepenuhya kepada beliau untuk melakukan pilihan.

“Kita sebagai ibu bapa hanya akan memberi panduan kepada beliau untuk melakukan sebarang keputusan.

Kami akan beri peluang kepada dia untuk buat pilihan, ini kerana Azeem sendiri yang akan menghadapi cabaran berdasarkan keputusan yang dibuat,”

kata mereka.

Dari beberapa tawaran yang diterima, ramai pihak melihat Universiti Houston mampu memberikan banyak kelebihan kepada Azeem dari segi pembangunan beliau sebagai seorang atlet.

Tambahan pula, reputasi institusi tersebut sebagai salah sebuah pusat penghasilan pelari pecut ternama menambahkan lagi keyakinan tersebut.

Universiti tersebut turut mempunyai aliran kursus yang ingin diambil oleh Azeem menjadikan ia salah satu destinasi terbaik untuk atlet tersebut.

“Houston menjadi antara pilihan utama kerana mereka ada menyediakan aliran sains sukan.

Tambahan pula, populasi Muslim di sana lebih ramai dan kehadiran Carl Lewis di sana dilihat memberi kelebihan yang besar.”

Walaubagaimanapun, tiada sebarang keputusan muktamad telah dibuat oleh pihak Azeem dan keluarga setakat ini.

Mereka ingin menggunakan masa yang ada untuk meneliti semula kesemua tawaran yang diberikan bagi memastikan pilihan yang dibuat adalah tepat dan mampu memberi kesan positif kepada pembangunan Azeem.

Sokongan tidak berbelah bagi dari kedua ibu bapa Azeem menjadi salah satu motivasi utama untuk atlet tersebut terus mempamerkan kecemerlangan.

Azeem kini boleh terus melupakan kedukaan di Sukan SEA Hanoi dan terus fokus untuk mencapai kejayaan di kejohanan yang lebih besar di masa hadapan.

Kepantasan Azeem akan terus ditagih selepas ini untuk membantu negeri Perak memperoleh emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) September ini.