Undian Kejohanan Badminton Dunia: Masa untuk buktikan siapa sebenarnya beregu lelaki No. 1 negara

3,975

Kejohanan Badminton Dunia 2022 akan menjadi pentas seterusnya untuk para pemain negara membuktikan kemampuan mereka memberi saingan di peringkat tertinggi.

Kejohanan yang akan membuka tirai pada 21 Ogos ini akan dihadiri oleh sebilangan besar pemain badminton ternama untuk merebut gelaran juara dunia.


Lebih menarik, undian yang dijalankan semalam memperlihatkan peluang seimbang kepada kesemua pemain untuk bersaing.

Namun begitu, mengikut prestasi semasa, ada kemungkinan yang besar untuk peminat Malaysia melihat pertembungan di antara dua beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin-Goh Sze Fei seawal pusingan 16 terbaik.

Situasi ini akan membuka peluang kepada kedua-dua pasangan untuk membuktikan kemampuan masing-masing selaku pasangan No.1 negara.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Aaron-Wooi Yik sudah semestinya ingin menebus kehampaan mereka setelah tewas mengejut di saingan separuh akhir temasya Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini.

Tambahan pula, mereka kini sering dikritik hebat oleh pelbagai pihak ekoran termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky atas kegagalan mereka untuk kembali menemui rentak kecemerlangan selepas gagal memenangi sebarang kejuaraan sehingga kini.  

Berbeza dengan gandingan yang berada di ranking ke-12 dunia, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei dilihat lebih cemerlang dan konsisten.

Pasangan ini telah berjaya meraih kejuaraan pada saingan Terbuka Jerman selepas menewaskan beregu dari China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi pada Mac yang lalu.

Justeru itu, besar harapan yang diletakkan oleh peminat untuk melihat kebangkitan luar biasa daripada Aaron dan Wooi Yik.

Pencapaian terbaik mereka setakat ini adalah pada Kejohanan Badminton Asia April lalu menerusi pingat perak yang telah diperolehi.

Aksi tidak konsisten ini turut menggusarkan Rexy yang tampak kecewa dan marah dengan prestasi semasa yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain ini.

Pada masa yang sama, Kejohanan Badminton Dunia ini akan turut memperlihatkan aksi daripada dua pemain perseorangan lelaki negara yang semakin mendapat perhatian.

Pemain No. 1 negara, Lee Zii Jia dilihat memiliki laluan yang mudah pada peringkat awal saingan melihat kepada lawan yang bakal dihadapi oleh beliau.

Meskipun begitu, Zii Jia perlu membuktikan kebolehan beliau dan terus memberi fokus sepenuhnya bagi mengelak daripada berhadapan dengan kekalahan mengejut pada peringkat awal saingan.

Harapan pastinya diletakkan di bahu pemain berusia 24 tahun itu untuk kembali mempamerkan aksi menyakinkan untuk memberi saingan kepada pemain utama dunia yang lain seperti pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen dan penyandang juara, Loh Kean Yew dari Singapura.

Zii Jia juga perlu bersedia untuk berhadapan dengan ancaman daripada dua pemain perseorangan India, Lakshya Sen dan Srikanth Kidambi yang turut berada di dalam pool undian yang sama.

Dalam pada itu, perhatian para peminat badminton negara akan terus tertumpu kepada seorang lagi pemain muda yang semakin meningkat naik, Ng Tze Yong.

Tze Yong dilihat berada dalam momentum terbaik selepas melakukan kejutan melalui kejayaan merangkul pingat perak pada aksi di Sukan Komanwel 2022.

Semoga kejayaan beliau menewaskan beberapa pemain di ranking lebih tinggi sebelum ini dapat menjadi pembakar semangat untuk terus melakukan kejutan di Tokyo, Jepun.

Laluan Tze Yong dilihat agak sukar selepas beliau dijadual bertemu pemain berbakat Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo yang muncul juara pada Kejohanan Malaysia Masters sebelum ini seawal pusingan pertama.

Lebih mendebarkan, Axelsen turut berada dalam pool yang sama dan dijadual bertemu dengan seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara, Liew Darren di perlawanan pertama.  

Mungkin Tze Yong boleh tukar hairstyle lagi sebagai “tuah” untuk terus pamer kebangkitan mengagumkan selepas ini.