Shafiq Shaharudin enggan main di Liga Super kerana sering panaskan bangku simpanan

6,330

Penyerang Kuala Lumpur Rovers, Shafiq Shaharudin menyatakan pendiriannya untuk tidak terburu-buru membuat keputusan menyertai Liga Super pada musim hadapan meskipun jika dapat tawaran.

“Kalau ada mana-mana pasukan di Liga Super atau Liga Perdana beri tawaran, saya akan fikir panjang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Antara faktor utama Shafiq enggan bermain di Liga Super adalah peluangnya untuk beraksi sebenarnya sangat tipis berikutan perlu bersaing dengan pemain import terutamanya di posisi penyerang.


Sebab sedemikian, beliau lebih gemar untuk bermain bersama pasukan Liga M3 supaya dapat turun beraksi pada setiap perlawanan berbanding hanya memanaskan bangku simpanan jika bermain bersama kelab di Liga Super.

“Jika saya ke Liga Super atau Liga Perdana yang mana kebanyakan pasukan menggunakan penyerang import, saya pasti terpaksa duduk di bangku simpanan.

Saya merupakan seorang penyerang, oleh itu saya hanya akan mendapat kepuasan apabila menjaringkan gol dan dapat meraikannya.”

Shafiq yang sebelum ini pernah bermain untuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan, dan Kuala Lumpur berkata sasaran utamanya adalah untuk mendapat minit permainan dan menjaringkan gol sebanyak mungkin.

Walaupun usianya sudah menjangkau 28 tahun, namun beliau masih lagi berbisa di depan gawang gol apabila berjaya menduduki pada kedudukan Top 3 penjaring terbanyak dengan 11 jaringan.

Dalam pada itu, Syafiq turut memberi kredit kepada rakan sepasukan yang sentiasa memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan sekaligus membantunya untuk menjaringkan gol.

Malah beliau juga tidak berdepan masalah untuk mencari keserasian dengan pemain lain walaupun baru menyertai KL Rovers dari Tun Razak City FC pada jendela perpindahan kedua.

Sementara itu, ketajaman Shafiq bakal diuji sekali lagi apabila mereka akan berdepan pendahulu Kumpulan A iaitu Kinabalu Jaguar FC dalam perlawanan suku akhir Liga M3 pada 20 Ogos ini.