Zamri Hassan yakin KL Rovers sedia naik ke Liga Super

1,081

Ketua jurulatih Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers), Zamri Hassan yakin bahawa skuad kendaliannya itu bersedia naik ke Liga Super pada musim hadapan sekiranya mereka layak.

Zamri berkata demikian selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan penstrukturan Liga Malaysia pada musim hadapan yang akan menyaksikan dua pasukan dari Liga M3 mempunyai peluang untuk bermain di Liga Super.


Menurutnya, gabungan antara pemain amatur dan profesional yang pernah beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana sebelum ini telah memberi keyakinan yang pasukannya sudah bersedia untuk beraksi di liga utama.

“Bagi saya pasukan KL Rovers dah bersedia untuk naik ke Liga Super. Jika naik ke Liga Super, pemain yang sedia ada perlu ditambah dengan pemain tempatan dan import,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama juga berpendapat penstrukturan liga pada musim hadapan bukan sahaja beri peluang kepada pasukan kecil seperti KL Rovers beraksi di liga kompetitif, tetapi juga beri peluang kepada pemainnya untuk mendapat tawaran yang lebih baik pada masa hadapan.

Terdahulu, anak buah Zamri telah membuat kebangkitan pada pusingan kedua Liga M3 apabila menyaksikan mereka berjaya menjaringkan 16 gol dan hanya bolos empat gol dalam lima perlawanan.

“Saya perbaiki kesilapan saya dan memanfaatkan kelebihan yang pasukan saya ada di pusingan kedua. Alhamdulillah kita berjaya menjaringkan 16 gol dan cuma empat gol sahaja yang bolos dalam lima perlawanan.”

Skuad KL Rovers sudah pun mencapai sasaran awal mereka iaitu mara ke suku akhir dan mereka bakal bertemu dengan juara Kumpulan A Liga M3 iaitu Kinabalu Jaguar FC yang dijadualkan berlangsung 20 Ogos ini.