Akademi Bola Sepak Wira Muda berjaya tarik perhatian Akademi JDT dan AMD, ibu bapa jadi tunjang kekuatan utama

3,382

Pengasas Akademi Bola Sepak Wira Muda (AWM), Shaik Awish Alkirani berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai oleh pelatih akademi beliau yang semakin mendapat tumpuan di peringkat pembangunan bola sepak akar umbi negara.

Baru-baru ini, pasukan bawah 10 tahun AWM telah berjaya menjuarai salah satu kategori yang dipertanding pada kejohanan, La Liga Youth Tournament yang diadakan di Kopa Arena, Universiti Sains Malaysia pada 23 hingga 24 Julai yang lalu.


Pertandingan ini telah mengumpulkan 50 pasukan dari 4 buah negara sekitar Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina, Thailand dan Laos.

Prestasi memberangsangkan yang diperagakan oleh para pelatih akademi ini berjaya menarik minat beberapa pihak termasuk akademi pembangunan utama di Malaysia seperti Akademi Moktar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Untuk tahun lepas, dua pemain akademi ini telah berjaya mendapat tempat di akademi pembangunan negara, Akademi Mokhtar Dahari.

Tahun ini, kita berjaya menghasilkan tiga orang pemain ke AMD dan seorang ke akademi JDT,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, unit pencari bakat dari Akademi JDT yang diketuai oleh Diego Griffa telah membuat satu lawatan untuk melihat fasiliti yang dimiliki oleh akademi ini.

Dalam pada itu, kejayaan yang dicapai pada hari ini dilihat adalah hasil daripada penglibatan pelbagai pihak terutama sekali ibu bapa pelatih yang tidak henti memberi sokongan kepada usaha yang dilakukan oleh pihak akademi.

Terutama sekali, dari segi kewangan yang menjadi antara faktor utama dalam menentukan kestabilan dan keupayaan sesebuah akademi pembangunan untuk kekal bertahan dalam tempoh yang lama.

“Dari segi dana, kami mempunyai penaja tetapi ada sebahagian daripada dana datang hasil kutipan di kalangan ibu bapa pelatih.

Saya ingin memberi penghargaan kepada ibu bapa yang banyak membantu selama ini.”

Selain daripada kejohanan-kejohanan besar di sekitar Malaysia, AWM turut aktif bersaing di peringkat negeri.

Mereka merupakan salah sebuah pasukan yang bertanding dalam Liga Akademi Bola Sepak Pulau Pinang (LABPP) 2022 bagi kategori bawah 8, 10 dan 12 tahun.

Pada masa yang sama, fasiliti dan kemudahan latihan turut menjadi salah sebuah nadi utama dalam menyokong program pembangunan bola sepak di peringkat kanak-kanak.

Bantuan dan sumbangan dari beberapa pihak telah berjaya membantu mewujudkan sebuah lokasi latihan yang selesa dan dapat menampung jumlah pelatih yang semakin bertambah dari masa ke semasa.

“Antara penyumbang adalah pihak Akademi Kecemerlangan MARA, kami takkan dapat fasiliti seperti sekarang kalau tanpa bantuan bantuan dan sokongan mereka.

Saya juga ingin berterima kasih kepada penaung akademi, YB Dato’ Mansor yang banyak memberi sumbangan kepada akademi.”

Dato’ Mansor bin Hj Othman merupakan ahli parlimen Nibong Tebal merangkap Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia.

AWM dilihat mempunyai sistem latihan pembangunan yang terusun serta mampu membantu pelatih untuk mengembangkan bakat bola sepak mereka seawal usia enam tahun.

Akademi bola sepak yang lain boleh mengikut contoh pengurusan yang dilakukan oleh pihak AWM dalam memastikan matlamat pembangunan pemain akar umbi berjaya dicapai dan bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Pembinaan pemain muda pada hari ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada masa depan bola sepak negara.

Semoga program pembangunan yang semakin mendapat tempat pada masa ini akan dapat diteruskan dalam jangka masa yang panjang.

Kehadiran pemain berkualiti di peringkat akar umbi akan menjadi pelapis masa hadapan yang akan menjulang nama negara di arena bola sepak antarabangsa.

Selepas ini, AWM akan menghantar wakil pada Pertandingan Bola Sepak Belia Antarabangsa bagi peringkat umur 6,8 dan 10 tahun yang akan diadakan di Setia Alam pada 20 dan 21 Ogos ini.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen