Adakah keputusan FAM guna pengadil tempatan sepenuhnya pada final Piala FA akan makan diri?
Selepas lama menanti jawapan mengenai pengadil manakah yang akan mengadili perlawanan akhir Piala FA 2022 membabitkan Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim yang akan berlangsung pada hujung Ogos ini akhirnya terjawab juga apabila ia akan diadili sepenuhnya oleh pengadil tempatan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankausa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk S Sivasundaram yang mana nama-nama pengadil berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
Untuk perlawanan akhir yang masih belum ditentukan venue dan tariknya, ia akan diadili oleh pengadil yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi memastikan kualiti pengadilan tidak dipertikai.
Namun adakah keputusan FAM untuk guna kesemua pengadil tempatan dalam perlawanan besar terutamanya membabitkan dua pasukan gergasi akan makan diri? Atau sebaliknya?
Ini kerana mutu pengadilan sejak beberapa musim kebelakangan ini sering menjadi kontroversi dan pada musim ini turut sama apabila banyak keputusan kontroversi yang berlaku sehingga memberi kesan kepada keputusan perlawanan.
Terdahulu pada separuh akhir Piala FA, badan induk itu telah menambah jumlah pengadil kepada enam pengadil yang mana tambahan dua pengadil yang berada di garisan gol dan ternyata ia memberi kesan apabila tiada sebarang keputusan kontroversi.
Diharap kualiti pengadilan pada separuh akhir akan dibawa ke perlawanan akhir kerana tekanan yang akan dihadapi oleh pengadil sangat hebat dan setiap keputusan yang dilakukan perlu tegas dan tidak boleh teragak-agak.
Pada masa pengadil yang ditugaskan juga perlu tegas supaya tiada insiden tidak diingini berlaku dan yang paling penting berjaya mengadili perlawanan dengan baik sekali.
Isu mutu pengadilan pengadil tempatan menjadi topik yang hangat dan sering dibincangkan berikutan banyak kontroversi yang berlaku sejak beberapa musim kebelakangan ini dan ia nyata mencetuskan kebimbangan semua.
Piala FA pada tahun ini boleh dikatakan agak istimewa dan ditunggu-tunggu peminat apabila saingan trofi itu terpaksa ditunda berikutan pandemik COVID-19.
Terdahulu pada perlawanan akhir Piala FA 2019 menyaksikan perlawanan membabitkan gergasi utara Kedah Darul Aman FC dan Perak FC telah diadili oleh pengadil dari Jepun yang telah berjaya mempamerkan kualiti pengadilan berkelas dunia.
Tiada sebarang keputusan kontroversi dan setiap keputusan yang dibuat tepat dan tegas selain berjaya mengawal perlawanan menjadi lancar sekaligus menjadikan perlawanan akhir itu antara yang terbaik sehingga kini.
Walaupun sudah tiga tahun berlalu, namun bagi peminat bola sepak tempatan mereka masih lagi memperkatakan mengenai mutu pengadilan perlawanan tersebut setiap kali kontroversi pengadil timbul.
Adakah perlawanan akhir Piala FA tahun ini akan dikenang dengan mutu perlawanan atau akan dikenang sebagai perlawanan kontroversi? Sama-sama kita tunggu.