Kpah Sherman, Tchetche Kipre semakin hilang taring?
Siapa tidak kenal dengan dua penyerang import Kpah Sherman dan Tchetche Kipre yang pernah menjadi mimpi buruk buat barisan pertahanan lawan setiap kali berdepan dengan kedua-dua mereka ini.
Sherman mula mencipta nama dalam Liga Malaysia pada tahun 2017 apabila menyertai PJ City FC yang mana menyaksikan beliau tidak menunggu lama untuk menjadi penyerang berbisa pasukan apabila berjaya menyumbat 21 gol dalam 29 penampilan.
Beliau kemudian berhijrah ke PKNS FC dan sekali lagi memperlihatkan ketajamannya apabila dihadapan gawang lawan membuatkan beliau merupakan antara penyerang yang sering disebut-sebut peminat.
Kipre juga memulakan kariernya dalam saingan Liga Malaysia pada tahun yang sama seperti Sherman apabila beliau bermain untuk pasukan Terengganu FC.
Ternyata Kipre memberi impak yang cukup besar buat pasukan Terengganu apabila beliau menjaringkan 38 gol dari 48 penampilannya bersama pasukan dari Pantai Timur itu.
Bagaimanapun pada tahun 2020, gergasi dari utara iaitu Kedah Darul Aman FC telah membawa masuk Sherman dan Kipre untuk memperkuatkan barisan serangan.
Kedua-dua mereka mengecapi musim gemilang mereka ketika bersama skuad Sang Kenari itu apabila mereka menjadi penjaring terbanyak pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak.
Tidak dapat dinafikan keserasian yang dipamerkan oleh duo Sherman dan Kipre nyata membuatkan benteng pertahanan lawan sentiasa ‘goyang’ setiap kali berdepan kedua-dua pemain ini.
Selain menjadi ‘mesin’ gol, mereka juga antara pemain yang banyak melakukan bantuan gol buat rakan sepasukan, oleh itu tidak keterlaluan untuk memperkatakan mereka mempunyai pakej lengkap.
Kejayaan yang dipamerkan oleh duo ini telah menarik perhatian ketua jurulatih Terengganu iaitu Nafuzi Zain yang mahu bawa pulang penyerang berbisanya Kipre dan juga gandingannya Sherman ke Kuala Terengganu.
Nafuzi mengambil keputusan untuk mengambil kedua-dua mereka kerana tidak perlu bimbang soal keserasian kerana mereka sudah buktikan ketika bersama Kedah.
Bagaimanapun nasib seperti tidak menyebelahi Nafuzi apabila percaturannya itu gagal membuahkan hasil lagi apabila mereka hanya berjaya menjaringkan 16 gol sekaligus menjadi pasukan kedua mempunyai jumlah jaringan yang sedikit.
Keadaan ini bukan sahaja meresahkan Nafuzi, tetapi juga peminat mereka sendiri yang masih menanti duo penyerang berbisa mereka kembali ‘mengganas’ seperti musim-musim sebelum ini.
Khidmat kedua-dua penyerang ini amat ditagih pada perlawanan akhir Piala FA hujung Ogos ini apabila mereka bakal bertemu dengan juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim untuk merebut trofi sekaligus mengesahkan tempat mereka di saingan Piala AFC musim depan.
Kedua-dua pemain perlu buktikan kemampuan mereka menjelang perlawanan akhir Piala FA menerusi dua perlawanan Liga Super menentang Selangor FC pada 17 Ogos ini dan Sri Pahang pada 21 Ogos.