Apa akan jadi kalau Choong Hann gagal dalam masa enam bulan, undur diri atau terus beri peluang?

1,918

Barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai tempoh enam bulan untuk merangka pelan dalam meningkatkan kualiti pemain perseorangan lelaki yang dimiliki oleh badan induk tersebut.

Ini susulan daripada kenyataan yang diberikan oleh Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang ingin melihat lebih ramai pemain perseorangan yang mampu menggalas cabaran negara di kejohanan besar selepas ini.


Beban ini perlu dipikul oleh Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann yang seharusnya memainkan peranan penting dalam menyusun proses pembangunan seseorang pemain.

Beliau akan turut dibantu oleh ketua jurulatih perseorangan BAM, Hendrawan serta Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones yang dilihat lebih cenderung ke arah memanfaatkan metodologi sains dalam pembangunan pemain.

Chong Hann setakat ini masih gagal menunjukkan impak yang besar kepada kualiti keseluruhan yang dimiliki oleh pemain perseorangan di bawah naungan BAM.

Di barisan skuad utama, hanya Ng Tze Yong sahaja yang semakin menunjukkan peningkatan luar biasa dan memberangsangkan.

Pemain muda tersebut yang dipilih untuk menggantikan pemain No. 5 Dunia, Lee Zii Jia berjaya mempamerkan aksi berkualiti sepanjang temasya Sukan Komanwel 2022 selepas berhasil membawa pulang pingat perak pada kejohanan tersebut.

Tambahan lagi, beliau turut berjaya menempah slot di Kejohanan Badminton Dunia yang akan bermula pada 21 Ogos ini.

Tze Yong akan berhadapan laluan getir pada kejohanan tersebut selepas dijadual berhadapan dengan juara Malaysia Masters 2022, Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia di pusingan pertama.

Dalam pada itu, selain kebangkitan Tze Yong, pemain perseorangan yang lain seperti Aidil Sholeh dan Leong Jun Hao dilihat masih kurang berjaya menunjukkan impak yang diinginkan oleh peminat.

Kekurangan ini memberi gambaran yang buruk kepada program latihan yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan BAM di bawah pimpinan Choong Hann dalam mengembangkan potensi setiap pemain.

Lebih mendukacitakan, sudah sekian lama negara berhadapan dengan masalah ketandusan pemain seperti ini, namun masih tiada perubahan besar dan drastik dapat dilihat berlaku pada persatuan tersebut.

Kita hanya berjaya menghasilkan sebilangan kecil pemain yang mampu bersaing pada satu masa.

Sebelum ini, bekas pemain No. 1 Dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei turut menggalas tugas dan beban yang berat selaku perseorangan tunggal harapan negara yang mampu konsisten beberapa tahun.

Kemunculan Zii Jia dan Tze Yong beri nafas baru untuk sukan badminton negara tetapi pihak bertanggungjawab perlu memainkan peranan dalam memperbanyakkan lagi pemain dan tidak meletakkan harapan pada sesetengah individu sahaja.

Sebagai contoh terdekat, negara jiran, Indonesia memiliki pilihan pemain berkualiti seperti Anthony Ginting, Jonathan Christie dan Chico Aura Dwi Wardoyo yang boleh bertindak sebagai pemain sandaran utama negara tersebut di kejohanan-kejohanan besar dunia.

Kehadiran pemain berkualiti seperti ini juga akan memberi kesan yang baik semasa kem latihan kerana mereka akan mewujudkan saingan yang lebih kompetitif dalam merebut kedudukan utama.

Enam bulan ini perlu diguna sebaiknya bagi membuktikan sesuatu bukan sahaja kepada BAM tetapi kepada peminat badminton yang sekian lama mendukung pasukan ini tanpa henti.

Usaha ini juga termasuk bahagian perseorangan wanita yang semakin kekurangan pemain berpotensi tinggi.

Dalam beberapa kejohanan sebelum ini, wakil negara yang berada di bawah naungan BAM dilihat gagal menampilkan aksi memberangsangkan.

Andai usaha ini terus menemui jalan buntu, pihak yang diberikan tugas tersebut perlu bersedia untuk bertanggungjawab dan melakukan tindakan yang sebaiknya demi memastikan masa depan badminton negara cerah dan terus meningkat.