3 Naturalisasi Indonesia hampir pasti, ancaman besar Harimau Malaya di Piala AFF 2022

13,512

Exco Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Hasan Abdulgani telah berkongsi perkhabaran terkini tentang status tiga orang pemain naturalisasi negara tersebut yang dilihat semakin hampir selesai.

Beliau memberi gambaran akan adanya berita gembira buat penyokong Indonesia pada 22 Ogos ini.


Ini termasuk pemain import terbaru Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Jordi Amat yang setakat ini masih belum pernah diturunkan dalam mana-mana perlawanan Liga Malaysia (Liga M).

Perpindahan bekas pemain Espanyol dan Swansea City tersebut menjadikan beliau pemain termahal yang kini beraksi di Liga M dengan tanda harga RM4.5 juta.

Jordi berkemungkinan besar akan diturunkan pada aksi pusingan 16 terbaik AFC Champions League (ACL) 2022 selepas beliau turut disenaraikan dalam senarai 35 orang pemain yang dibawa oleh pasukan JDT ke Jepun.

Dalam pada itu, selain Jordi, dua lagi pemain naturalisasi yang akan menggalas cabaran skuad Garuda adalah pemain kelab K.V. Mechelen dari Belgium, Sany Walsh serta pemain Liga Norway, Shayne Pattynama.

Kehadiran ketiga-tiga orang dijangka dapat dilihat seawal perlawanan persahabatan di antara pasukan Indonesia dan Curacao pada September ini.

Tambahan pula, mereka kini mempunyai beberapa orang pemain yang semakin mendapat tempat bersama kelab di liga besar Asia.

Pengalaman dua orang pertahanan muda, Asnawi Mangkualam dan Pratama Arhan beraksi di luar negara akan turut membantu meningkatkan kemampuan pasukan ini melakukan kejutan selepas ini.

Pada masa yang sama, tugas berat akan menanti pemain-pemain pasukan Malaysia tatkala kedua-dua negara akan bertanding pada kejohanan Piala AFF 2022 yang dijadual bermula penghujung Disember tahun ini.

Kali terakhir skuad negara bertemu Indonesia adalah pada aksi kejohanan AFF 2020 yang berakhir dengan kekecewaan kepada pasukan Harimau Malaya selepas dimalukan dengan keputusan 4-1.

Kejohanan tersebut merupakan aksi awal pemain warisan negara, Dion Cools menyarung jersi kebangsaan.

Keserasian yang kurang di antara pemain negara ketika itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi hambar yang dipamerkan sepanjang kejohanan.  

Skuad kebangsaan mampu mengubat kekecewaan ini berdasarkan prestasi semasa ditambah dengan keserasian yang semakin baik ditunjukkan oleh para pemain tatkala berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Pada aksi di Piala AFF 2020, skuad negara gagal mara ke aksi kalah mati selepas menduduki tempat ketiga kumpulan di belakang Indonesia dan Vietnam.

Indonesia akan beraksi di kejohanan tersebut sebagai salah sebuah pasukan pilihan selepas berjaya mendapat tempat kedua pada 2020 selepas tewas 6-2 secara agregat di tangan Thailand.

Aksi di kejohanan King’s Cup 2022 September ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dalam mengenal pasti kekurangan yang dimiliki oleh anak buahnya agar dapat segera diperbaiki menjelang Piala AFF Disember ini.

Sudah disahkan, Malaysia akan berhadapan dengan pasukan Taijikistan dan Trinidad & Tobago di samping tuan rumah, Thailand pada kejohanan King’s Cup yang akan berlangsung di Chiang Mai bermula 21 hingga 26 September ini.