Bola sepak Malaysia hancur jika dijadikan alat kepentingan peribadi

1,219

Dalam era moden ini, sukan sudah boleh dianggap sebagai satu bisnes kerana keuntungan yang mampu dijana melaluinya.

Bola sepak tidak terkecuali bahkan boleh dianggap sebagai antara sukan yang boleh menjana keuntungan yang paling tinggi berdasarkan popularitinya.


Di Malaysia juga, sudah semakin ramai ahli perniagaan atau syarikat korporat yang mula berminat mengambil alih kelab tempatan kerana sedar akan potensi perniagaan daripadanya.

Bukan sahaja ahli perniagaan, ahli politik serta golongan VVIP semakin ramai melibatkan diri dalam arena bola sepak tempatan bagi membina pengaruh.

Dari satu sudut, ini adalah satu perkara yang baik kerana mampu menghangatkan lagi saingan bola sepak tempatan dan menjadikan sebuah kelab bola sepak lebih profesional.

Namun, jika mereka hanya mahu menjadikan kelab bola sepak sebagai alat kepentingan peribadi, dalam jangka masa yang panjang ia hanya akan merosakkan kelab itu.

Ambil contoh apa yang sedang berlaku di Manchester United ketika ini apabila penyokongnya berang dengan pemilik mereka, keluarga Glazer yang dikatakan menjadi punca kemerosotan kelab itu.

Walaupun pernah mengecap kejayaan di bawah Glazer, persembahan pasukan semakin teruk sejak beberapa musim kebelakangan ini sehinggakan sudah tidak menjadi salah satu kelab yang digeruni lagi.

Bagi penyokong United, Glazer hanya mahu menjadikan kelab itu sebagai ‘alat’ menjana keuntungan.

Di negara ini, sudah banyak kelab yang boleh dijadikan contoh daripada kegagalan pengurusan yang tidak mempunyai ilmu dan tidak serius dalam menguruskan kelab bola sepak, sehinggakan ada yang terpaksa dibubarkan.

Musim depan, Liga Malaysia akan menjalani penstukturan semula dan kelab dijangka boleh menjana lebih banyak keuntungan daripada penajaan.

Jadi mungkin lebih ramai pihak yang berminat untuk melibatkan diri sama ada untuk mengejar keuntungan atau menaikkan reputasi serta populariti diri.

Namun harus diingatkan juga bahawa perbelanjaan bagi setiap kelab yang bertanding juga akan menjadi lebih tinggi daripada musim ini.

Sekiranya kepentingan peribadi diletakkan lebih tinggi daripada kepentingan kelab, makin banyaklah kelab yang akan ‘hancur’ selepas ini.