Apa sudah jadi dan tak kena pada PJ City FC musim ini?

592

Walaupun pasukan PJ City FC merupakan pasukan underdog dalam saingan Liga Super, namun kelibat mereka tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pasukan.

Terkenal dengan slogan #Yakinilokal, PJ City merupakan satu-satunya pasukan di Liga Super yang menggunakan 100 peratus pemain tempatan, musim lalu mereka berjaya menamatkan saingan liga di kedudukan ketujuh.


Malah mereka juga pasukan yang mendapat gelaran ‘pembunuh kelab besar’ apabila sering menewaskan pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman FC dan beberapa lagi.

Bagaimanapun pada musim tampaknya semuanya serba tak kena walaupun mereka memulakan kempen saingan Liga Super dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan gergasi Terengganu FC.

Kini selepas 15 perlawanan, mereka kini berada di kedudukan kedua tercorot dengan mencatatkan dua kemenangan, enam seri dan tujuh kekalahan.

Ia sesuatu yang agak mengejutkan kerana pada awal musim, skuad kendalian P. Maniam menyasarkan untuk menamatkan kempen musim ini dalam kedudukan Top 5, namun berdasarkan prestasi semasa nampaknya perkara itu tidak akan menjadi kenyataan.

Entah di mana salah dan silap mereka sehingga kini masih gagal mencari kemenangan dan berdasarkan lima perlawanan terakhir mereka hanya berjaya seri dua kali dan kalah tiga kali.

Sesuatu perlu dilakukan oleh P. Maniam bagi memastikan mereka mampu mengutip mata semaksimum mungkin baki perlawanan.

Walaupun musim depan Malaysian Football League (MFL) akan membuat penstrukturan liga, namun mereka tidak akan selamat jika terus berada di tangga tercorot.

Ini kerana dua pasukan tercorot akan bermain pusingan play-off dengan juara dan naib juara dari Liga M3 yang sudah pastinya akan bermain mati-matian untuk naik ke Liga Super.

Jika PJ City tumpas di pusingan play-off, mereka terpaksa bermain di saingan Liga M3 pada musim depan dan perkara ini sudah semestinya mereka tidak mahu berlaku.

Skuad The Phoenix perlu melakukan sesuatu untuk keluar dari zon tercorot dan mereka perlu menang bermula Rabu ini apabila mereka akan menentang Sarawak United FC.

P. Maniam perlu menggunakan kelebihan pemain kebangsaan seperti Darren Lok, V. Ruventhiran, Kogileswaran Raj dan pemain pengalaman untuk mengubah nasib mereka.

Mungkin ramai yang tidak sedar walaupun PJ City dibarisi oleh pemain tempatan, tetapi pemain-pemain mereka mempunyai pengalaman luas yang mampu beri saingan kepada pasukan besar.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai mereka kerana mereka sudah buktikan kemampuan mereka sebelum ini.

Kebanyakan peminat juga agak terkejut dengan prestasi hambar PJ City dan berharap mereka akan kembali mendapat rentak kecemerlangan mereka.

Kejayaan PJ City amat penting kerana mereka boleh dijadikan sebagai contoh kepada pasukan lain yang mana tidak perlu berbelanja besar untuk beraksi dalam saingan liga tertinggi negara.