Skuad B-19 Vietnam berlatih di Jepun sebagai persiapan kelayakan Piala Asia B-19

228

Aksi kelayakan Piala Asia B-19 akan membuka tirainya September depan dengan 44 pasukan bakal merebut 16 tempat ke kejohanan itu tahun depan.

Bagi mempersiapkan pasukan menghadapi kejohanan itu, Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) akan mengadakan kem latihan di Jepun daripada 12 hingga 26 Ogos ini.


Dalam tempoh tersebut, mereka akan beraksi dalam tiga aksi persahabatan iaitu bersama skuad B-19 Jepun, dan dua kelab Jepun iaitu Cerezo Osaka B-18 dan Osaka Sangyo University.

Vietnam dilihat benar-benar serius mahu skuad B-19 mereka layak ke kejohanan itu sehingga sanggup berlatih di Jepun untuk menentang lawan yang lebih hebat.

Mereka baru saja selesai bertanding dalam kejohanan bola sepak antarabangsa B-19 Thanh Nien baru-baru ini yang turut disertai Malaysia, tetapi tidak menunggu lama untuk terus mengadakan aksi persahabatan lain.

Selepas skuad utamanya juga layak ke Piala Asia 2023, VFF dilihat tidak mahu ‘si adik’ keciciran dan sanggup melakukan apa saja bagi meningkatkan prestasi mereka.

Ini juga menunjukkan bahawa VFF turut mementingkan skuad bawah umur mereka sama seperti skuad senior.

Mereka diundi dalam kumpulan F bersama-sama Indonesia, Hong Kong dan juga Timor Leste.

Malaysia pula nampaknya akan berdepan cabaran yang lebih sukar pada pusingan kelayakan itu apabila diundi bersama-sama Korea Selatan, Mongolia, dan Sri Lanka.

Mungkin apa yang dilakukan oleh VFF itu boleh dijadikan contoh oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Berbaki kurang sebulan lagi sebelum kelayakan itu bermula, FAM harus segera menyusun perlawanan persahabatan yang berkualiti sebagai persediaan buat skuad B-19 negara.

Ia boleh menjadi medan terakhir buat ketua jurulatih, Hassan Sazali Waras untuk menguji pemain-pemain yang dirasakan mampu menggalas tanggungjawab di Mongolia nanti.