Ketika saingan Liga Malaysia sedang memperlihatkan petanda positif, ia dicemari dengan budaya samseng pula

2,107

Satu ketika dahulu, ramai yang ‘memboikot’ saingan Liga Malaysia kerana merasakan ianya sudah hilang seri, namun ia kemudian kembali meriah apabila semakin ramai mula kembali memeriahkan saingan liga tempatan.

Bagaimanapun ketika Liga Malaysia memperlihatkan petanda positif, timbul masalah baru pula iaitu membabitkan penyokong yang mula membuat kecoh dan mencetuskan pergaduhan.


Beberapa perlawanan baru-baru ini telah menyaksikan terdapat beberapa pergaduhan serta konfrontasi melibatkan penyokong berlaku akibat tindakan provokasi sebahagian daripada mereka.

Antara yang mencuri tumpuan adalah perlawanan Liga Perdana antara Kelantan FC dan Perak FC serta perlawanan Liga Super antara Melaka United FC dan Sri Pahang FC.

Malah, keadaan juga menjadi tegang sehingga ke luar padang apabila terdapat kelab yang membuat laporan polis dan ada pemilik kelab yang bertelagah di media sosial.

Situasi ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada reputasi Liga Malaysia yang pernah dicemari dengan insiden keganasan penyokong sehingga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pernah mengeluarkan larangan beraksi tanpa penonton serta denda kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sepatutnya bola sepak adalah sukan yang mampu menyatukan tidak kiralah negara, bangsa mahupun agama, bukannya menjadi punca perbalahan antara penyokong.

Disebabkan tindakan yang dilakukan oleh sebahagian kecil penyokong, sifat kebencian terhadap pasukan atau negeri lain semakin menjadi-jadi.

Penyokong-penyokong di negara ini mungkin boleh mencontohi seorang penyokong Kedah Darul Aman FC yang menawarkan diri untuk membelikan tiket kepada penyokong Sabah FC yang akan berkunjung ke Stadium Darul Aman Rabu ini.

Menurutnya, beliau terharu dengan layanan baik yang diberikan oleh penyokong Sabah ketika dia bertandang ke Stadium Likas tempoh hari dan mahu membalas semula jasa baik mereka.

Bukan sahaja menawarkan pertolongan untuk membeli tiket, dia juga turut menawarkan untuk memudahkan urusan pengangkutan dan membawa mereka bersiar-siar sekitar Kedah.

Ini adalah satu contoh yang amat baik di sebalik beberapa insiden pergaduhan penyokong yang berlaku baru-baru ini.

Sampai bilakah budaya gangsterisme akan terus wujud dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan?

Sekiranya tidak dibendung dari sekarang, tidak mustahil perkara ini akan menjadi lebih teruk pada masa hadapan sehingga melibatkan nyawa seperti negara luar.

Bukan sahaja dalam kalangan penyokong, kelab juga harus mendidik penyokong mereka supaya menjadi lebih bertamadun ketika hadir ke stadium.

Ia haruslah bermula daripada pengurusan kelab yang sepatutnya menjadi pendamai antara penyokong dan bukannya mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang marak.