Pemain kacukan Jepun-Ghana, Zion Suzuki, Hiroki Sakai ancaman terbesar kepada JDT

2,612

Wakil negara di AFC Champions League 2022, Johor Darul Ta’zim akan meneruskan saingan di pusingan 16 terbaik bertemu Urawa Red Diamonds, Jumaat ini.

Urawa Reds merupakan antara pasukan gergasi di Liga Jepun dan semakin menunjukkan peningkatan pada beberapa perlawanan terakhir liga domestik.


Mereka telah mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut pada lima perlawanan terakhir liga ketika ini untuk memperbaiki kedudukan di tangga ketujuh.

Momentum ini seharusnya menjadi petanda kepada pasukan JDT untuk lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Tambahan pula, pasukan ini turut memiliki beberapa orang pemain yang mewakili pasukan kebangsaan Jepun.

Salah seorang adalah penjaga gol muda kacukan Jepun-Ghana, Zion Suzuki yang perlu diberikan perhatian.

Pemain berusia 19 tahun tersebut telah melakukan debut bersama skuad utama Samurai Blue pada Julai tahun ini semasa Kejohanan Bola Sepak Asia Timur (EAFF).

Suzuki berjaya mencatatkan clean sheet pada perlawanan menentang Hong Kong untuk membantu Jepun menang besar, 6-0.

Terdahulu, beliau pernah mewakili pasukan B-17 kebangsaan pada beberapa kejohanan termasuk Piala Dunia pada edisi 2017 dan 2019.

Sepanjang kempen ACL musim ini, beliau telah membuat empat penampilan di peringkat kumpulan dan berjaya mencatat dua aksi tanpa bolos ketika menentang juara kumpulan, Daegu FC dan SD Taishan.

Selain Suzuki, kehadiran seorang lagi pemain kebangsaan Jepun yang berpengalaman beraksi di Eropah, Hiroki Sakai akan turut menjadi ‘duri dalam daging’ kepada JDT.

Sakai sebelum ini pernah bersama pasukan gergasi Perancis, Olympique Marseille bermula dari tahun 2016.

Pertahanan kanan atau tengah ini juga pernah berkelana ke Jerman untuk beraksi bersama pasukan di Bundesliga, Hannover 96.

Pengalaman beraksi di liga utama ini akan menjadikan beliau antara pemain yang perlu diberi perhatian serius oleh ketua jurulatih JDT baru, Hector Bidoglio.

Sakai yang telah mengumpul 70 kaps bersama skuad kebangsaan Jepun ini telah beraksi sebanyak 14 kali dalam saingan liga domestik musim ini untuk membantu Urawa Reds mencatatkan lapan kemenangan setakat ini.

Dalam pada itu, Urawa Reds sudah memulakan perang psikologi menjelang perlawanan dengan mengeluarkan kenyataan “enjoy your short stay” kepada JDT.

Walaubagaimanapun, dari segi cuaca di Saitama, ia semacam lebih berpihak kepada pasukan JDT.

Suhu panas yang dicatatkan sehingga 37° celcius ketika ini di Jepun dilihat akan menjadi petanda positif kepada JDT tatkala para pemain Harimau Selatan sudah terbiasa dengan keadaan dan cuaca seperti ini di Malaysia.

JDT kini dilihat berada di dalam situasi terbaik untuk mara lebih jauh di dalam saingan ACL berdasarkan prestasi semasa.

Selain daripada lima kemenangan berturut-turut dalam Liga Super, JDT merupakan satu-satunya pasukan di dalam liga yang masih belum mencatatkan sebarang kekalahan selepas 14 perlawanan berlangsung.

Jika momentum ini dapat diteruskan, tidak mustahil untuk JDT melayakkan diri ke peringkat lebih jauh untuk sekali lagi mencipta sejarah membanggakan negara di peringkat tertinggi Asia.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen