Pertemuan dua sahabat baik jadi tumpuan aksi Selangor-Terengganu

420

Perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan Terengganu FC esok bakal menjadi detik pertemuan semula dua jurulatih muda yang juga sahabat baik iaitu Nidzam Jamil dan Nafuzi Zain.

Nidzam yang baru sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih interim Selangor FC menggantikan Michael Feichtenbeiner akan berdepan cabaran Nafuzi serta anak buahnya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Apa yang menarik adalah, pertemuan ini ibarat satu kebetulan ketika Nafuzi mengambil alih Terengganu sebagai ketua jurulatih interim pada 2019, perlawanan pertamanya adalah menentang Nidzam yang ketika itu melatih Felda United.

Perlawanan tersebut juga mampu menjadi titik tolak kepada kebangkitan pasukan yang menang kerana kedua-duanya menunjukkan prestasi yang tidak menentu di Liga Super ketika ini.

Kedua-dua pasukan mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan dalam lima perlawanan terakhir.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah ketika perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menyaksikan Terengganu menang 4-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Perlawanan itu juga menyaksikan Feichtenbeiner dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih Selangor.

Selepas ketiadaan Feichtenbeiner, penyokong Selangor sudah tentu mahu pengganti beliau segera mendapatkan rentak kemenangan bagi sekurang-kurangnya menamatkan musim di kedudukan yang lebih baik daripada kedudukan kesembilan liga ketika ini.

Ini juga merupakan peluang buat Nidzam menunjukkan kemampuan beliau kepada pengurusan Selangor untu menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih tetap.

Bagi Nafuzi pula, sudah tentu beliau mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Sarawak United 1-0 pada perlawanan sebelum ini.

Jika Selangor berjaya mencatatkan kemenangan di Stadium MBPJ, mereka akan berada satu mata di belakang Terengganu yang berada di tangga keempat.

Terengganu juga mahukan kemenangan untuk terus mengejar Negeri Sembilan yang kini selesa dengan jarak 12 mata.

Jika dilihat berdasarkan rekod, tugas berat mungkin menanti Nidzam kerana Selangor masih belum pernah menewaskan Terengganu sejak 2019.