Petinju Thailand maut ketika pertarungan Muay Thai, kelemahan pasukan medik dipersoal

1,735

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan kematian seorang petinju Muay Thai dari Thailand selepas terkena tumbukan petinju Malaysia ketika Kejohanan Muay Thai Ambang Merdeka 2022.

Mangsa yang berusia 28 tahun, Kittichai Chaengkhao berasal dari Chumpong tidak sedarkan diri selepas ditumbuk dibawa ke Klinik Kesihatan Badang sebelum dibawa ke unit kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II.


Beliau yang mengalami pendarahan otak bagaimanapun tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal pada pukul 10.57 pagi.

Menurut pihak polis, penganjur mempunyai permit untuk mengadakan perlawanan tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sebelum beliau dibawa ke klinik tersebut, terdapat sebuah video tular yang memaparkan dirinya dikelilingi oleh petugas yang cuba memberi bantuan kecemasan untuk menyedarkannya.

Namun apa yang menyedihkan ialah cara petugas tersebut melakukan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) jelas salah.

Agak mengejutkan kerana kejohanan yang sah seperti itu seperti tidak mempunyai pasukan medik yang berkelayakan, dan seolah-olah tiada ambulans yang diletakkan dalam keadaan bersedia.

Sekiranya seorang ahli medik terlatih ada pada kejohanan itu, sudah tentu dia tahu apa yang perlu dilakukan dan tahap serius kecederaan petinju itu.

Sedangkan sukan bola sepak, ragbi dan lain-lain sukan pun mempunyai pasukan medik yang terlatih dan ambulans dalam keadaan bersedia, sukan tempur seperti Muay Thai sepatutnya mempunyai persediaan yang lebih dari sudut kecemasan.

Selain daripada pasukan medik, petin ju sendiri perlu tahu sedikit sebanyak pertolongan cemas supaya boleh memberikan pertolongan sekiranya insiden seperti itu berlaku.

Sudah banyak contoh para pemain memberikan bantuan awal kepada rakan atau lawan mereka yang pengsan atau tidak sedarkan diri.

Disebabkan itulah pertolongan cemas amat penting dalam apa-apa sukan sekalipun dan pasukan medik haruslah terdiri daripada mereka yang benar-benar layak.