PSM dan Rapid KL jangan ulang kesilapan lagi, perlu bersedia awal untuk ‘final’ Piala FA dan konsert Dewa 19
Penantian peminat bola sepak tempatan terutamanya penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC mengenai perlawanan akhir Piala FA akhirnya terjawab selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan ia akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September.
Namun pengumuman itu menjadi satu kejutan buat sebilangan penyokong kerana ada yang sudah merancang untuk menghadiri konsert band Indonesia, Dewa 19 yang turut diadakan pada waktu yang sama, dan di lokasi berdekatan iaitu Axiata Arena.
Dengan penganjuran kedua-dua acara itu, sudah tentu kawasan SNBJ akan dipenuhi dengan puluhan ribu orang pada hari tersebut.
Dijangka, ramai penyokong JDT dan Terengganu serta peminat Dewa 19 akan menggunakan perkhidmatan LRT untuk ke lokasi berkenaan.
Ketika Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di SNBJ Jun lalu, pihak Rapid KL pernah dikecam kerana lambat membuat pengumuman mengenai lanjutan operasi LRT, iaitu kira-kira dua jam sebelum perlawanan bermula, di mana ramai penyokong sudah hadir ke stadium menggunakan kenderaan sendiri.
Bagi menghadapi kesesakan orang ramai pada 10 September nanti, Rapid KL harus mengambil pengajaran daripada Kelayakan Piala Asia 2023 tempoh hari dengan membuat pengumuman lebih awal, mungkin seminggu sebelum tarikh tersebut, supaya orang ramai dapat merancang perjalanan.
Bagi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pula, insiden penyodok ketika Kelayakan Piala Asia 2023 tempoh hari juga harus dipastikan tidak berulang lagi sekiranya ditakdirkan hujan pada hari perlawanan akhir Piala FA itu.
Satu persoalan yang timbul adalah, adakah PSM mampu memastikan padang berada dalam keadaan baik pada 10 September nanti kerana pada hari esok (18 Ogos), penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Billie Eilish akan mengadakan konsertnya di SNBJ.
Sudah tentu ia akan memberi kesan terhadap keadaan padang dan PSM mempunyai kurang daripada sebulan untuk membaiki apa yang patut sebelum perlawanan akhir Piala FA berlangsung.
Selain itu, PSM juga harus bersedia dengan kawalan keselamatan yang baik bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan juga kejadian “paku” di tempat letak kereta.
Dengan jumlah penyokong yang ramai pada hari itu ditambah dengan warga Indonesia yang dijangka turut membanjiri Axiata Arena untuk menyaksikan Dewa 19, jumlah petugas keselamatan harus ditingkatkan kerana apa-apa saja boleh berlaku.
PSM sendiri sudah bersetuju untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala FA di SNBJ, jadi mereka harus menjalankan tanggungjawab untuk memastikan perlawanan tersebut berlangsung dengan lancar.