Agong sudah beri pengiktirafan, tetapi KHM pula terpaksa mohon dana untuk majukan hoki negara
Selepas skuad hoki padang kebangsaan mengharumkan nama negara layak ke kejohanan Piala Dunia Mei lalu, skuad hoki dalam dewan pula baru-baru ini berjaya meraih gelaran juara pada kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022.
Skuad negara yang berada di ranking ke-21 dunia berjaya menewaskan pasukan ketiga dunia, Iran menerusi penalti shoot-out 3-2 selepas terikat 4-4 dalam masa penuh.
Turut berkongsi kegembiraan adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan mereka melakar sejarah.
Susulan kejayaan itu, presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata beliau akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memohon dana untuk memajukan standard pasukan kebangsaan.
Antara kegunaan dana tersebut adalah untuk menghantar skuad kebangsaan berlatih di luar negara menentang pasukan-pasukan gergasi dunia lain.
Ini adalah sesuatu yang menyedihkan apabila badan induk sendiri yang terpaksa ‘mengemis’ untuk mendapatkan dana sedangkan mereka sudah mempamerkan persembahan baik dan Agong sendiri memberikan pengiktirafan.
Ketika skuad hoki padang negara layak ke Piala Dunia tempoh hari juga, mereka terpaksa menunggu sehingga pasukan bola sepak negara layak ke Piala Asia 2023 sebelum insentif diumumkan bersama-sama.
Mungkin akan ada pihak yang menafikan wujudnya ‘double standard’ antara kedua-dua sukan itu, tetapi berdasarkan layanan yang diberikan jelas menunjukkan hoki berada di kelas kedua.
Sepatutya, ganjaran dan dana sudah diumumkan dari awal lagi tanpa perlu diminta kerana mereka membanggakan nama negara di peringkat dunia.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) nampaknya perlu lebih peka lagi mengenai perkembangan skuad hoki negara kerana ini bukanlah kali pertama perkara ini berlaku.