Justin Hoh sudah buktikan layak jadi perseorangan lelaki ketiga negara
Ketika ini, gelaran bagi perseorangan badminton lelaki nombor satu serta nombor dua negara masing-masing milik Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong.
Perseorangan ketiga negara bagaimanapun masih kosong kerana tiada pemain yang dilihat sesuai menggalas tanggungjawab itu secara konsisten.
Pemain muda, Justin Hoh dilihat paling layak untuk menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan lelaki nombor tiga negara berdasarkan prestasi dan konsistensinya.
Dua lagi perseorangan negara, Leong Jun Hao dan Aidil Sholeh yang sebelum ini dilihat mempunyai potensi bagaimanapun tidak cukup konsisten.
Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek turut yakin dengan kemampuan pemain itu kerana mempunyai karisma dan karakter untuk pergi lebih jauh.
Jun lalu, Justin berjaya meraih gelaran Terbuka Croatia dan juga Bonn International di Jerman.
Oktober depan, beliau akan membawa cabaran negara dalam World Junior Championships di Sepanyol dan berharap dapat membawa pingat emas ke Malaysia yang kali terakhir dimenangi Zulfadli Zulkiffli.
Bagi merealisasikan impian itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan beliau berlatih bersama skuad senior bagi meningkatkan prestasinya.
Sebelum ini, BAM memberi masa enam bulan kepada barisan kejurulatihan untuk menetapkan perseorangan lelaki kedua dan ketiga persatuan itu.
Mungkin inilah masanya buat Justin menunjukkan beliau layak berada di belakang Tze Yong selaku perseorangan kedua BAM dan perseorangan ketiga negara.
Dengan usianya yang masih muda iaitu 18 tahun, BAM boleh memberi fokus terhadap dirinya dari sekarang supaya berjaya mencapai jangkaan yang diletakkan.
Jika Justin berjaya menampilkan persembahan yang baik pada kejohanan itu nanti, BAM harus mempertimbangkan untuk terus membiarkannya berlatih dengan skuad senior.