Terengganu FC beruntung sebab ada pemain seperti Faisal Halim – Nidzam Jamil

5,327

Ketua jurulatih interim Selangor FC, Nidzam Jamil berkata pasukan Terengganu FC mempunyai pemain seperti Faisal Halim yang boleh memberi impak yang cukup besar kepada pasukan.

Menurut Nidzam, kualiti yang ada pada pemain tersebut dapat dilihat menerusi pembabitannya dalam dua gol yang dijaringkan sekaligus berjaya menewaskan Selangor FC di tempat sendiri pada perlawanan Liga Super malam tadi.


“Saya rasa Terengganu beruntung sebab ada pemain seperti Faisal Halim yang memberi impak yang cukup besar dan ia boleh dilihat dengan pembabitannya dalam dua gol yang dijaringkan Terengganu.

Kita tahu Faisal akan bagi banyak ancaman kepada kita kerana beliau mempunyai skil individu yang cukup bagus, malah pemain pertahanan saya Quentin Cheng juga berdepan masalah untuk mengatasi kelajuannya,”

katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan Sang Penyu tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol apabila gerakan cantik daripada Faisal telah memberi ruang kepada Habib Haroon untuk melakukan rembatan yang menerjah jaring pada minit ke-13.

Kealpaan barisan pertahanan Selangor sekali lagi dihukum pada minit ke-39 menerusi jaringan Manuel Ott.

“Pada perlawanan malam tadi kita ada dua half yang berbeza yang mana pada separuh masa pertama kita sedikit leka dan telah dihukum dengan dua gol. Bagaimanapun untuk separuh masa kedua kita tukar sedikit taktik dengan harapan kita dapat gol, tapi malangnya ia tidak berlaku.”

Nidzam pada masa sama turut berkata barisan serangannya yang tidak mempunyai killer instinct menyebabkan mereka gagal mendapatkan gol.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan pasukannya berdepan tekanan berikutan prestasi hambar sejak kebelakangan ini dan terbaru kekalahan di tangan Terengganu, namun beliau berkata ia adalah normal untuk seorang jurulatih dan juga pemain bola sepak.

“Ini adalah Selangor, kita tidak boleh main baik sahaja tapi kita perlu menang. Dalam mana-mana industri sekali pun akan ada tekanan, jika anda tidak perform, pasti anda akan ditekan. Dalam dunia bola sepak kerana kita ada peminat, peminat akan tekan kita untuk dapatkan keputusan baik, jadi ia adalah perkara normal.”  

Beliau juga tidak menyalahkan peminat apabila mereka melontarkan pelbagai kritikan pedas berikutan prestasi hambar, sebaliknya pasukan perlu terima segala kritikan dan terus berusaha untuk perbaiki permainan dan menang perlawanan.