Penyokong naik angin dengan prestasi ‘buruk’ Selangor FC
Pasukan Selangor FC terus dihimpit dengan prestasi hambar apabila mereka sekali lagi tewas dalam perlawanan Liga Super di tangan Terengganu FC 2-0 semalam di tempat sendiri.
Walaupun Terengganu tampil dengan sedikit tempang berikutan ramai pemain tidak cergas dek terpaksa mengharungi beberapa perlawanan dalam tempoh singkat, namun Selangor masih gagal mengambil kesempatan itu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan jumlah peminat yang agak ramai hadir bagi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan, namun semalam agak ‘istimewa’ apabila Ultras Selangor atau UltraSel menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada pihak pengurusan Gergasi Merah Kuning.
Jika sebelum ini UltraSel akan chant memberi semangat kepada pemain-pemain di atas padang, namun semalam sebaliknya berlaku apabila mereka mengangkat sepanduk logo jenama popular dengan tulisan sindiran termasuk kain rentang yang memaparkan ayat ‘Kota Rom tidak dibina dengan kebodohan’.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) August 17, 2022
Antara tulisan di sepanduk yang dapat dilihat antaranya ‘Hanching’, ‘Kimak’, ‘Scam Story’, ‘CacaMarba’ dan banyak lagi.
UltraSel nyata tidak dapat lagi menyembunyikan api kemarahan mereka apabila chant semangat telah ditukar kepada chant makian ‘Oh Selangor apa kau dah buat, 4 tahun main macam setan’ dan beberapa lagi.
Banyak lagi video yang dimuat naik di media sosial yang memperlihatkan peminat meluahkan rasa kekecewaan mereka dan ada yang mempersoal tindakan Selangor memakai jersi warna hijau di tempat sendiri sekaligus mengaitkan kekalahan besar Manchester United apabila memakai jersi warna hijau.
Kritikan pedas yang dilontarkan kepada pasukan Selangor bukanlah bermakna mereka benci, sebaliknya mereka mahukan perubahan drastik dilakukan untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan seperti satu ketika dahulu.
Atas faktor masih sayangkan pasukan, walaupun kalah mereka tetap sanggup mengeluarkan wang poket sendiri untuk hadir ke stadium untuk menyokong pasukan kesayangan dan ia adalah bukti kepada pengurusan bahawa peminat sentiasa berada di belakang pasukan tetapi jangan khianati kepercayaan mereka.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) August 18, 2022
Pihak pengurusan juga tampak seakan-akan tidak boleh menerima kekalahan semalam apabila tidak membenarkan pihak media menemubual langsung pemain selepas tamat perlawanan sekaligus menimbulkan persoalan apakah sebab utama pemain tidak dibenarkan ditemubual.
Kelab sebesar Selangor sepatutnya lebih profesional dalam berdepan apa sahaja situasi kerana dalam dunia bola sepak perkara seperti ini adalah normal, jadi pengurusan dan pemain tidak harus ‘koyak’ jika keputusan tidak menyebelahi mereka.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) August 17, 2022
Seorang pemain yang bagus perlu mempunyai mental yang kuat untuk berdepan dengan apa sahaja tekanan dan perkara itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih interim Selangor, Nidzam Jamil yang berkata ia adalah perkara normal untuk mana-mana jurulatih atau pemain menerima tekanan jika tidak pamer aksi terbaik.
Apa yang berlaku pada Selangor ketika ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana mereka mempunyai ramai pemain berbakat, oleh sebab itu peminat berasa hairan apabila pasukan tidak dapat prestasi cemerlang.
Satu tindakan drastik perlu dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi Selangor bagi memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar. Jika mereka terus berdiam diri tanpa tindakan, tidak mustahil pasukan yang gah satu ketika dahulu akan jatuh tersungkur.