Venice Elphi jadikan status ‘underdog’ sebagai motivasi tambahan menentang BRM FC
Kapten Armed Forces FC, Venice Elphi selesa dianggap sebagai pasukan ‘underdog‘ menjelang perlawanan suku akhir pertama Liga M3 menentang BRM FC.
Menurutnya, para pemain akan mendapat motivasi yang lebih tinggi sekiranya menentang lawan yang merupakan pasukan pilihan.
“Ia adalah perkara biasa bagi sesebuah team menjadi pasukan pilihan apabila terdapat ramai pemain yang bagus dan berpengalaman, di atas kertas mungkin mereka ada kelebihan.
Saya pun dah beritahu kepada rakan-rakan mengenai BRM dan saya harap mereka berikan lebih usaha berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa pasukan Armed Forces juga berpengalaman untuk beraksi dalam perlawanan besar seperti itu kerana majoriti pemain telah bersama sejak 2018.
Tambahnya, jurulatih juga ada mengarahkan mereka untuk menonton perlawanan pasukan BRM bagi mengkaji mengenai lawan mereka tersebut.
Dalam pada itu, beliau yang bermain dengan pasukan itu sejak 2008 mengakui peluang buat pasukan Liga M3 untuk layak ke Liga Super musim depan memberi motivasi tambahan buat beliau dan rakan-rakan.
“Ia adalah satu perkembangan yang bagus bagi saya, kerana saya sendiri pernah merasai pengalaman di Liga Super dan saya harap impian untuk bawa pasukan ini ke Liga Super akan menjadi kenyataan.
Ramai lagi pemain lain dalam pasukan yang tidak pernah merasai suasana di Liga Super jadi saya harap mereka akan berusaha lebih untuk layak.”
Mengenai persediaan pasukan, beliau berkata semua berada dalam keadaan yang baik dan pemain sudah tidak sabar untuk beraksi.
Beliau juga mengakui beraksi pada waktu petang mungkin memberi sedikit kelebihan buat mereka tetapi ia bukanlah penentu segala-galanya.