Buli siber mampu ‘bunuh’ minat kanak-kanak bersukan, syabas KPM wujudkan platform aduan atas talian
Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini melancarkan satu platform atas talian bagi orang ramai untuk melaporkan kes buli serta talian khas yang beroperasi 24 jam yang boleh diakses di https://www.moe.gov.my/aduanbuli.
Ini adalah satu inisiatif yang amat baik daripada pihak KPM walaupun perkara itu sepatutnya sudah diwujudkan sejak sekian lama lagi.
Lebih-lebih lagi dengan reputasi Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai kes buli siber paling banyak di dunia.
Di dalam sukan, buli siber adalah perkara biasa dan di Malaysia sahaja sudah berapa banyak atlet menjadi mangsa di media sosial mereka sehingga ada yang terpaksa menutup ruangan komen.
Bukan sahaja mereka yang dewasa, kanak-kanak juga tidak terkesan daripada menjadi mangsa kecaman di internet.
Sebelum ini, Harimau Malaya pernah memuatnaik satu video pelatih skuad B-8 di Akademi Bola Sepak Wira Muda yang mempunyai kemahiran menimbang bola yang baik.
Namun di ruangan komen terdapat sebilangan netizen yang mengecam dan memberi kata-kata negatif kerana hanya menunjukkan skil menimbang bola sahaja.
Sekiranya kanak-kanak tersebut membaca kata-kata negatif yang ditujukan kepadanya, sudah tentu ia akan memberi kesan besar terhadap emosinya dan mungkin boleh menjadi penyebabnya berhenti bermain bola sepak.
Ini adalah satu perkara yang menyedihkan lebih-lebih komen negatif tersebut datang daripada mereka yang sudah dewasa.
Dengan kewujudan platform untuk membuat aduan mengenai kes buli tersebut, ia mampu menyediakan satu ‘safe space’ buat mangsa meluahkan apa yang mereka rasakan.
Diharapkan, Malaysia tidak lagi menjadi antara negara yang terkenal dengan buli siber dan ruangan internet adalah satu tempat yang selamat buat atlet serta kanak-kanak di negara ini.