Urawa Red Diamonds pamer magis ‘cup specialist’, Harimau Selatan tetap cipta sejarah walaupun tumbang di Saitama

641

Wakil tunggal negara di saingan AFC Champions League (ACL) 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC terpaksa akur dengan penguasaan yang dilakukan oleh lawan mereka, Urawa Red Diamonds.

Urawa Reds nyata unggul di gelanggang sendiri selepas dilihat menguasai perlawanan seawal minit pertama perlawanan.


Kemasukan pemain termahal Liga Malaysia (Liga M), Jordi Amat pada perlawanan penting ini sedikit menimbulkan persoalan.

Ini kerana, beliau telah sebulan tidak diturunkan pada mana-mana perlawanan kompetitif selepas perpindahannya ke JDT pada Julai lalu.

Tambahan lagi, posisi yang diletakkan oleh ketua jurulatih, Hector Bidoglio di bahagian tengah sedikit menyukarkan Amat kerana beliau dilihat lebih cenderung beraksi di bahagian pertahanan tengah.

Ketiadaan match fitness menyebabkan beliau gagal menjalankan tugas dalam membantu pemain tengah, Natxo Insa untuk mengekang kemaraan pemain pasukan lawan.

Keserasian dalam perlawanan juga mungkin menjadi antara faktor yang turut mendorong kepada beberapa kesilapan mudah sehingga menyebabkan serangan bertali arus berjaya dilancarkan ke arah penjaga gol, Farizal Marlias.

Pada masa yang sama, formasi 4-2-3-1 yang digunakan oleh ketua jurulatih Urawa Reds, Ricardo Rodriguez telah memperlihatkan kekebalan benteng pertahanan mereka menyekat kemaraan duo berbisa JDT, Bergson da Silva serta Fernando Foriesteri.

Kedua-dua pemain ini dilihat sedikit tumpul dan tidak berjaya melakukan banyak percubaan merbahaya ke arah gawang Urawa Reds yang dikawal rapi oleh bekas penjaga gol pasukan Jepun, Shusaku Nishikawa.

Barisan kejurulatihan Urawa Reds telah melakukan kajian yang cukup teliti menjelang perlawanan ini kerana dapat dilihat setiap pemain pasukan tersebut tahu key player JDT yang perlu mereka kawal sepanjang perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, pemain muda JDT, Arif Aiman perlu diberi pujian kerana beliau terus kekal  beraksi cemerlang selepas dilihat menyinar sepanjang perlawanan meskipun tidak berjaya membantu pasukan untuk memberi saingan yang sengit kepada pasukan lawan.

Kesukaran JDT yang dihadapi oleh Natxo dan Amat menyebabkan tiada kesinambungan daripada bahagian tengah untuk membantu barisan serangan melancarkan asakan.

Penggantungan bintang JDT, Leandro Velazquez memberi tamparan hebat selepas peranan yang ditinggalkan beliau tidak dapat digalas oleh pemain lain.

Dalam pada itu, pemain-pemain import Red Devils berjaya mencuri tumpuan pada perlawanan ini selepas berjaya menjaringkan kesemua lima gol.

Kehadiran pemain yang pernah beraksi di Eropah seperti bekas pemain Sunderland FC, David Moberg Karlsson dan bekas pertahanan Olympique Marseille, Hiroki Sakai di bahagian kanan memaksa pemain JDT, Corbin Ong dan Shane Lowry bekerja dengan lebih keras.

Gandingan dua pemain lawan ini dilihat memberi kesukaran kepada barisan pertahanan JDT sehingga tamat perlawanan.

Meskipun perjalanan JDT dalam saingan ACL musim ini terhenti di pusingan 16 terbaik, pencapaian mara ke peringkat tertinggi seperti ini seharusnya diberikan pujian.

Kekalahan ini jelas menunjukkan perbezaan kualiti di antara kedua-dua negara dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh kesemua pihak.

Aksi liga yang cukup kompetitif di Jepun menyebabkan kelab-kelab dari negara tersebut berjaya mempamerkan aksi setiap kali beraksi di peringkat Asia.

Semoga dengan perubahan dan rombakan liga yang bakal dijalankan pada musim hadapan sedikit sebanyak akan membantu meningkatkan lagi kualiti Liga Malaysia ke tahap yang lebih tinggi

Para peminat sentiasa berharap setiap pasukan dapat memberi saingan yang lebih kuat untuk menampakkan perebutan juara liga menjadi seimbang dan tidak hanya dipegang oleh satu pasukan sahaja.

Persaingan sengit ini akan turut memberi kesan dalam usaha menjulang pasukan-pasukan dari Malaysia untuk mencapai standard yang lebih menyakinkan.

Selepas ini, tumpuan akan beralih kepada Kuala Lumpur City FC selaku wakil negara di perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN yang akan berlangsung pada 24 Ogos ini.