Cadangan Piala Dunia setiap 2 tahun jejaskan pasukan Malaysia

132

Apa kaitannya dengan Malaysia sekiranya kejohanan Piala Dunia diadakan setiap dua tahun? Bukannya Malaysia layak masuk Piala Dunia pun. Itu mungkin adalah reaksi peminat bola sepak tanah air sekiranya ada dakwaan mengatakan sekiranya cadangan untuk mengadakan kejohanan bola sepak terbesar dunia itu diadakan setiap dua tahun berbanding empat tahun akan memberi impak yang besar kepada pasukan Malaysia.

Sebenarnya bukan pasukan bola sepak negara sahaja, tetapi setiap pasukan bola sepak di seluruh dunia juga akan terkesan sekiranya ia direalisasikan nanti. Jadi siapa yang memberi cadangan ‘gila’ ini kepada FIFA? Orang yang pertama mencadangkan ini adalah bekas pengurus Arsenal iaitu Arsene Wenger yang ketika ini bertindak sebagai Pengarah Pembangunan FIFA sebelum ia diusulkan oleh Arab Saudi dan ketika undian dibuat sebanyak 166 daripada 209 neara menyokong dan 22 menentang manakala yang lain bertindak berkecuali.


Sumber foto: MFL Facebook

Sememangnya ada baik dan buruknya dalam apa-apa sahaja perkara yang dibuat. Antara kebaikannya adalah untuk peminat bola sepak yang sememangnya sentiasa menanti kejohanan bola sepak terbesar dunia ini. Selain itu, ia juga akan membawa keuntungan ratusan juta dollar sekaligus melonjakkan ekonomi dunia.

Bagaimanapun, itu dari sudut pandang perniagaan tetapi golongan yang paling terjejas sudah semestinya pemain bola sepak termasuklah pemain bola sepak di Malaysia. Mungkin ramai yang berasa seperti tidak masuk akal apabila Malaysia akan dikatakan terkesan walaupun ramai yang mengetahui mustahil untuk skuad Harimau Malaya layak ke Piala Dunia.

Tetapi peminat perlu melihat ia dari gambaran yang luas kerana sekiranya Piala Dunia diadakan setiap dua tahun, ia bermakna keseluruhan jadual liga bola sepak di seluruh dunia, termasuk kejohanan bola sepak lain turut terkesan.

Sumber foto: MFL Facebook

Sebagai contoh, di Malaysia kita mempunyai banyak pemain import yang bermain di Liga Malaysia dan sekiranya keputusan untuk adakan Piala Dunia setiap dua tahun, jadual liga akan mendapat sangat padat kerana pemain-pemain import sudah semestinya akan dipanggil oleh skuad kebangsaan masing-masing untuk mengharungi sesi kelayakan.

Bukan sahaja pemain import, pemain pasukan kebangsaan Malaysia juga akan berdepan situasi sama kerana perlu bersiap sedia untuk kejohanan antarabangsa lain seperti Piala AFF, Piala Asia, AFC Champions League, Piala AFC dan beberapa lagi. Itu belum mengambil kira perlawanan persahabatan antarabangsa dan saingan Liga Malaysia (Liga Super/Liga Perdana, Piala Malaysia, Piala FA).

Pemain eropah berkemungkinan tiada masalah dengan jadual yang padat kerana mereka sememangnya sudah ‘next level’ berbanding pemain negara, tetapi harus diingat juga sekiranya pemain terus bermain dengan jadual yang padat, mereka berisiko tinggi untuk mengalami pelbagai kecederaan yang mungkin akan menjejaskan karier bola sepak mereka.

Baru-baru ini juga terdapat laporan yang mendedahkan peningkatan jumlah serangan jantung di kalangan pemain bola sepak dengan terbaru berlaku kepada pemain Denmark, Christian Eriksen yang terkena serangan jantung ketika Euro 2020 musim panas lalu berjaya diselamatkan.

Sumber foto: MFL Facebook

Ini adalah antara kecederaan serius yang berkemungkinan besar akan berlaku kepada pemain-pemain bola sepak termasuklah pemain di Liga Malaysia. Tambahan setiap pasukan di Liga Malaysia masih lagi tidak mempunyai pasukan perubatan seperti di liga eropah, jadi ia akan memberi impak besar kepada karier pemain.

Kita sudah mempunyai banyak pemain yang sangat bagus namun prestasi mereka merudum dengan mendadak selepas mengalami kecederaan serius kerana tiada rawatan intensif untuk mengembalikan kecergasan di tahap terbaik selain memakan tempoh yang lama. Apabila seseorang pemain itu tidak beraksi untuk satu tempoh yang lama, pastinya sukar untuk pasukan menyambung kontrak atau mencari pasukan baru susulan kurang minit permainan.

Ia telah dibuktikan apabila negara dilanda pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan Liga Malaysia dan apabila ia dibenarkan bersambung semula, kebanyakan jurulatih dan pemain dengan jadual yang padat menyebabkan ramai antara pemain yang cedera dan prestasi merudum dek tidak cukup rehat.

Jadi kesimpulannya, cadangan untuk adakan Piala Dunia ini tidak relevan dilaksanakan kerana ia bukan sahaja menjejaskan negara yang layak, tetapi juga negara-negara lain.