Syed Adney akui masih sayangkan bola sepak, pasang cita-cita kembali ke Liga Super
Bekas penjaga gol negara, Syed Adney yang kini beraksi bersama pasukan Harini FT di Liga M3 tetap memasang impian untuk kembali beraksi di peringkat tertinggi bola sepak di Malaysia.
Kali terakhir beliau beraksi di Liga Malaysia (Liga M) adalah ketika bersama pasukan Penang FC pada tahun 2017.
Kini, beliau sering muncul di kaca tv selaku pundit untuk kebanyakan perlawanan liga yang disiarkan secara langsung untuk beberapa musim kebelakangan ini.
Namun, kerjaya ini tidak terus menutup minat beliau untuk kembali berada di atas padang untuk memberikan aksi yang terbaik.
“Sudah semestinya passion saya adalah untuk bermain bola sepak, saya terkilan empat tahun lalu tidak dapat menyambung dengan mana-mana pasukan kerana saya rasa masih milki sesuatu dalam diri ini untuk diberikan kepada bola sepak.
Saya berkerja keras, saya menunggu peluang dan jika diberikan saya akan berjuang untuk mendapatkan kembali tempat saya seperti dahulu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain berusia 35 tahun ini merupakan antara bekas penjaga gol terkenal di Malaysia dan pernah beraksi bersama beberapa kelab utama di Liga M.
Kejayaan tertinggi di peringkat kelab adalah ketika menjadi juara Piala Malaysia 2010 bersama pasukan Kelantan FC.
Selain itu, Adney juga pernah membantu pasukan kebangsaan untuk menjuarai kejohanan Pestabola Merdeka yang dianjurkan pada tahun 2007.
Kini, dengan rombakan yang bakal dilakukan pada musim hadapan, Harini FT mempunyai peluang cerah untuk naik ke Liga Super.
Ini adalah berdasarkan persembahan yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang musim ini ditambah dengan kemenangan 2-1 ke atas pasukan Imigresen FC pada perlawanan suku akhir pertama.
Peluang ini sedikit sebanyak memberi keterujaan kepada Adney serta pemain-pemain lain yang telah sekian lama memasang hasrat untuk beraksi di pentas seperti Liga Super.
“Apabila saya masuk ke Liga M3, memang saya letak sasaran untuk kembali ke Liga Super.
Kita cuba sedaya upaya bersama pasukan Harini FT untuk layak ke Liga Super, jika kami berjaya layak, saya tak perlu cari pasukan lain dan kekal bersama mereka.”
Pemain yang dilahirkan di Liverpool ini pernah ditawarkan untuk menjalani latihan percubaan bersama kelab-kelab di England seperti Middlesbrough dan Darlington FC pada tahun 2007 ketika masih bersama pasukan Selangor FC.
Dalam pada itu, penjaga gol tinggi lampai ini turut optimis dengan peluang cerah yang dimiliki oleh pasukannya untuk mara sehingga ke perlawanan akhir Liga M3.
Kehadiran bekas pemain Liga Super seperti Hafiz Kamal, Azmeer Yusof serta Nazrin Nawi memberi impak yang besar kepada kecemerlangan yang dipamerkan oleh pasukan ini.
Pada peringkat kumpulan, mereka berjaya mengumpul sepuluh kemenangan dan lima keputusan seri daripada 18 perlawanan keseluruhan.
Momentum ini perlu diteruskan menjelang aksi di perlawanan suku akhir kedua yang dijadual pada 27 Ogos ini.
Adney perlu merebut tempat di kesebelasan utama bersama seorang lagi penjaga gol berpengalaman, Farizal Harun yang sering diturunkan oleh ketua jurulatih, Fauzi Pilus sebagai pilihan utama.