Sub-10 jadi sasaran utama Azeem Fahmi, buru kelayakan ke Kejuaraan Dunia 2023

4,550

Baru-baru ini World Athletics (WA) telah mengeluarkan sistem kelayakan bagi para atlet yang ingin melayakkan diri ke Kejohanan Dunia yang akan diadakan pada tahun hadapan di Budapest, Hungary.

Sistem tersebut disertakan dengan rekod yang perlu dicapai oleh para atlet bagi membolehkan mereka layak ke kejohanan tersebut selain daripada kedudukan ranking semasa yang perlu dilakukan dalam tempoh masa yang diberikan.


Apa yang menarik adalah, syarat minimum yang diletakkan untuk acara 100 meter adalah sub-10 ataupun 10 saat ke bawah.

Pelari diberikan tempoh untuk melakukan catatan masa ini dari 31 Julai 2022 sehingga 30 Julai 2023 bagi melayakkan diri dalam kelompok 48 pelari terbaik yang disasarkan pada kejohanan tersebut.

Dalam tempoh tersebut, mereka perlu bertanding dan melakukan catatan masa yang ditetapkan dalam beberapa kejohanan yang diiktiraf oleh pihak WA.

Pelari pecut negara, Azeem Fahmi dilihat memiliki peluang untuk layak ke kejohanan ini berdasarkan rekod yang telah dilakukan oleh beliau sebelum ini di Kejohanan Olahraga Dunia B-20 Cali, Colombia.

Namun, perlu diakui bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan oleh beliau bagi merealisasikan impian ini.

Sekiranya Azeem gagal mencapai kriteria yang ditetapkan dalam tempoh terdekat, beliau masih mempunyai peluang yang besar di masa hadapan kerana beliau memang berpotensi disebabkan usianya yang masih muda.

Dengan latihan yang tepat serta disiplin yang baik, tidak mustahil dalam masa terdekat ini Azeem akan sekali lagi mampu untuk melakukan kejutan di peringkat antarabangsa.

Tambahan pula, Azeem ketika ini hanya selangkah lagi untuk ke luar negara bagi menyambung pelajaran di samping mendapatkan program latihan yang lebih intensif dan mampu menjulang bakat beliau ke peringkat yang lebih tinggi.

Buat masa ini, beliau telah menerima pelbagai tawaran daripada institusi pendidikan di luar negara yang turut mempunyai fasiliti dan program latihan yang berkualiti seperti di Universiti Houston.

Sehingga ke hari ini, difahamkan bahawa Azeem telah menerima sebanyak 10 tawaran untuk melanjutkan pelajaran dan kebanyakan daripadanya di institusi pendidikan sekitar Amerika Syarikat.

Ini petanda yang cukup baik kerana negara tersebut cukup dikenali dengan kebolehan melahirkan atlet-atlet pecut yang pernah mendominasi Kejohanan Dunia seperti yang dilakukan oleh Tyson Gay pada tahun 2007 selepas merangkul tiga pingat emas di Kejohanan Dunia Osaka.

Pelari berasal dari Perak itu juga berpeluang berlatih bersama legenda olahraga dunia, Carl Lewis yang kini dilantik sebagai ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Houston.

Faktor-faktor ini dilihat akan banyak membantu dalam terus mencungkil bakat yang dimiliki oleh atlet muda ini untuk mencapai sasaran di bawah 10 saat (sub-10).

Azeem masih belum membuat sebarang keputusan terhadap universiti yang akan dipilih olehnya bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang akan berlangsung pada September ini.

Diharap Azeem dapat terus memberi fokus dan meneruskan rentak kecemerlangan ini bagi terus memecahkan rekod 10,09 saat yang dipegang olehnya.

Kehadiran Azeem sedikit sebanyak menghidupkan semangat peminat untuk melihat sukan olahraga kembali dijulang ke peringkat tertinggi.