Shaukat pilih bawa elemen Melayu ke Hollywood, jadi ahli gusti ASEAN pertama ke ROW

1,656

Ahli gusti profesional negara, Shaukat Fonseka semakin menempa nama di arena antarabangsa selepas beliau membuat kemunculan pertama di pentas beprestij, Reality of Wresting (ROW) yang diadakan di Houston, Texas pada Julai lalu.

Kemunculan beliau di acara tersebut mencipta sejarah selepas Shaukat menjadi wakil pertama dari rantau Asia Tenggara yang berjaya tampil di pentas besar tersebut.


ROW diasaskan oleh lagenda World Wrestling Entertainment (WWE), Booker T yang pernah tersenarai di dalam WWE Hall of Fame sebanyak dua kali pada tahun 2013 dan 2019.

Lebih membanggakan, ahli gusti berusia 34 tahun tersebut telah memilih untuk menggayakan baju yang berteraskan songket dan mengenakan tanjak sebagai lambang kebudayaan Melayu.

Perkara ini membuatkan beliau mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang semakin menyedari bakat dan potensi yang dimiliki oleh ahli gusti ini.

“Walaupun saya berdarah campuran, saya memilih untuk membawa nama Melayu kerana di Hollywood mereka belum begitu kenal tentang bangsa Melayu.

Kerana itulah saya memilih untuk membawa watak pahlawan Melayu supaya saya dapat memberitahu kepada orang ramai tentang budaya dan identiti kita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Perhatian yang diberikan kepada beliau sedikit sebanyak menyebabkan hubungannya bersama ahli gusti profesional yang lain sedikit terganggu.

Ada di antara mereka yang tergugat dengan kehadiran penggusti baru yang mampu menarik perhatian para penonton dengan mudah dan cepat.

Hal ini memberi kesan kepada semangat Shaukat yang terganggu dengan kejadian ini pada permulannya.

“Atmosfera di antara penggusti sedikit berbeza tambahan pula saya yang baru datang dari Malaysia diberi lebih perhatian.

Wujud sedikit rasa tidak puas hati di kalangan ahli gusti lain tatkala orang baru seperti saya diangkat oleh pihak atasan tapi saya sudah jangkakan perkara ini.”

Berkat kerja keras dan semangat perjuangan yang tinggi, Shaukat terus berjaya melakar nama ke tahap yang lebih tinggi.

Selepas aksi beliau di ROW, ada beberapa agensi dari sekitar Amerika Syarikat yang sedang merisik untuk mendapatkan khidmat beliau di masa hadapan.

Buat masa ini, difahamkan beliau akan kembali ke Amerika Syarikat lebih kurang tiga bulan sekali untuk melakukan persembahan di sana.

Dalam pada itu, Shaukat yang juga pemilik sebuah pusat latihan gusti profesional, APAC Wrestling turut berasa gembira dengan penerimaan daripada peminat di sekitar Malaysia yang semakin bertambah.

“Sokongan semakin berkembang dan acara pada hari ini kita dapat mengumpul kehadiran yang cukup ramai.

Respon dari orang juga semakin bagus dan mereka menikmati acara yang kami lakukan seperti hari ini.”

APAC Wrestling semakin aktif dalam mempromosikan sukan ini, mereka sering mengadakan beberapa perlawanan pertunjukan pada setiap bulan.

Terkini, APAC Wrestling sedang menganjurkan sebuah kejohanan yang mengumpulkan beberapa ahli gusti terkenal sekitar Asia seperti Wam Bam Bellows dari Australia serta Alexis Lee dari Singapura.

Diharap dengan adanya inisiatif yang dilakukan seperti ini dapat menambahkan lagi pendedahan terhadap sukan ini kepada orang ramai serta menarik minat lebih ramai individu untuk terus memberi sokongan kepada perkembangan sukan gusti di masa hadapan.