Phoenix Diana tolak tepi kecaman, pasang impian keluar bergusti di Amerika Syarikat

348

Ahli gusti wanita negara, Phoenix Diana tidak akan menjadikan kecaman yang diterima oleh beliau sebagai perkara yang akan menghalang perkembangan kariernya sebagai salah seorang ahli gusti yang berhijab.

Phoenix yang kini aktif bersama APAC Wrestling sebagai ahli gusti sepenuh masa semakin menarik perhatian peminat sukan tersebut selepas video aksinya tular di media sosial sebelum ini.


Mendukacitakan, video tersebut memperoleh persepsi negatif daripada orang ramai tatkala ramai yang membangkitkan isu wanita dan sukan seperti yang sering berlaku pada atlet-atlet wanita negara sebelum ini.

Tambahan pula, Phoenix beraksi dalam sukan yang cukup agresif dan melibatkan sentuhan fizikal yang agak tinggi serta terkenal dengan pemakaian yang agak mencolok mata.

Namun, Phoenix tetap dengan pendirian untuk mengubah tanggapan tersebut untuk memperagakan busana yang lain daripada lain serta bertepatan dengan budaya di Malaysia.

“Kecaman akan sentiasa ada walaupun benda sekecil-kecil yang dilakukan, jadi untuk saya, saya lebih memilih untuk tolak tepi perkara tersebut dan teruskan apa yang saya lakukan.

Saya sudah lakukan perkara ini selama tujuh tahun, jadi saya sudah tahu apa yang saya inginkan,“

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang telah bergelar sebagai atlet profesional, berjaya menjadikan sukan ini bukan sekadar hobi semata-mata malah menjadi sumber utama pendapatannya.

Walaubagaimanapun, dengan penerimaan yang agak rendah di kalangan peminat sukan tanah air ketika ini, Phoenix bahawa melihat sukan ini belum mampu menampung sekiranya lebih ramai ahli gusti ingin menjadikan ini sebagai kerjaya utama.

Ini kerana, masyarakat di Malaysia belum dapat menerima sepenuhnya idea dan kaedah sukan ini dipertandingan lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan golongan wanita.

Pelbagai usaha rancak dilakukan oleh kesemua pihak termasuk APAC Wrestling dalam menjadikan sukan ini lebih dikenali pada masa hadapan.

“Kita belum sampai tahap yang kita boleh jadikan semua orang yang menyertai sukan ini sebagai profesional dan jadikan ia sebagai kerjaya.

Tapi kita sedang berusaha ke arah itu dengan menjadikan sukan tersebut sebagai sukan utama di Malaysia.”

Perkara ini dilihat tidak mustahil kerana sukan gusti telah mula mendapat perhatian dari negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Penerimaan yang lebih meluas ini membolehkan sukan ini akan terus dijulang ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini sekaligus membuka peluang yang lebih cerah kepada penggusti dari Malaysia untuk mengembangkan karier selepas ini.

“Dekat Asia Tenggara, banyak promosi untuk sukan ini telah dilakukan di pelbagai negara seperti Thailand, Singapura, Vietnam dan Filipina.

Ini boleh menjadi contoh kepada negara lain untuk melihat arena sukan gusti di sekitar rantau ini sebenarnya semakin pesat berkembang.”

Phoenix yang semakin cemerlang dengan aksi-aksi bertenaga memasang impian untuk keluar beraksi di Amerika Syarikat untuk mengikut jejak langkah yang dilakukan oleh seorang lagi ahli gusti negara Shaukat Fonseka.