Penyokong Selangor FC berhak dapat penjelasan, TMJ ‘petik’ empat nama yang harus bertanggungjawab

6,030

Kecoh lagi dalam kalangan arena bola sepak tempatan selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuatnaik satu Instastory mengenai Selangor FC selepas kekalahan pasukan itu di tangan PJ City FC semalam.

Menerusi Instastory itu, baginda yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi ‘nasihat’ buat pengurusan Selangor untuk bertanggungjawab terhadap prestasi terkini kelab yang teruk dan berjumpa dengan penyokong untuk menjelaskan apa yang berlaku.


Baginda menyebut nama empat individu yang dikatakan harus bertanggungjawab iaitu Izhar (merujuk kepada Izhar Moslim yang mempunyai pengaruh besar dalam Selangor FC), Farouk (merujuk kepada Faruk Fadzil, Pengurus Kanan Komersil Selangor FC), Simon (merujuk kepada Simon Lim Swee Teck, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor) dan Johan (merujuk kepada Dr Johan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC).

Penyokong-penyokong Selangor juga nampaknya sudah tidak sabar dengan pihak pengurusan apabila meluahkan perasaan mereka melalui kain rentang yang ditulis dengan pelbagai mesej kepada pengurusan semasa perlawanan semalam.

Mereka turut memanggil pihak pengurusan untuk berjumpa selepas perlawanan sehingga terpaksa dihalang oleh pihak berkuasa.

Selepas tujuh tahun tidak memenangi sebarang trofi dan ditambah pula dengan prestasi yang menyedihkan musim ini, logiklah penyokong bertindak demikian lebih-lebih Selangor merupakan antara kelab yang berbelanja paling banyak setiap musim selepas JDT.

Namun apa yang penyokong dapat hanyalah satu mesej ringkas daripada Johan pada larut malam selepas perlawanan menentang PJ City.

Ia sama sekali tidak memberi gambaran mengenai apa yang berlaku dan seakan-akan menuding jari kepada para pemain sahaja.

Sekiranya betul-betul mahu menjelaskan kepada penyokong, pengurusan harus berani bersemuka secara terbuka dengan penyokong seperti yang disebut oleh TMJ.

Penyokong sememangnya berhak untuk tahu segala kebenaran dengan telus kerana mereka yang berpenat lelah dan menghabiskan wang untuk menyokong pasukan.

Sebelum ini, Kedah Darul Aman FC juga ada membuat sesi dialog dengan penyokong tetapi nampak seperti ada sesuatu yang disembunyikan apabila sesi itu hanya diadakan secara tertutup tanpa sebarang siaran langsung di media sosial.

Selangor juga harus membuat inisiatif yang sama tetapi mungkin dengan menyiarkannya kepada penyokong supaya tiada perkara yang disembunyikan.

Jangan sampai penyokong sudah muak dan lali dengan pihak pengurusan, seterusnya bertindak memboikot atau berhenti memberi sokongan kepada kelab.

Selangor kini terperosok di tangga kesembilan Liga Super selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga.

Apa yang lebih teruk adalah, mereka juga tewas kepada PJ City FC yang gagal meraih sebarang kemenangan dalam 13 perlawanan terakhir liga.

PJ City yang bermain tanpa import untuk dua musim berturut-turut, juga berjaya merapatkan jurang dan kini berkongsi 16 mata dengan Selangor.

Selepas aksi yang menghampakan ditunjukkan pemain import, mungkin ini juga masanya Selangor memberi peluang kepada pemain-pemain tempatan seperti Shahrel Fikri dan juga Danial Asri untuk menunjukkan keupayaan mereka.

Pemain-pemain seperti ini pastinya akan bermain dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa mereka layak berada dalam kesebelasan utama.

Sayang sekiranya bakat mereka disia-siakan kerana kedua-dua pemain ini pernah menyerlah ketika diberi peluang bermain.

Merah Kuning Lambang Kebanggaan.