KBS dan MSN sepatutnya dengar suara atlet, badan sukan sebelum gugurkan acara SUKMA

409

Baru-baru ini arena sukan negara dikejutkan dengan pengguguran 12 acara dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang akan berlangsung pada 16 hingga 24 September ini.

Antara acara-acara tersebut adalah baling tukul besi, lempar cakera, lontar peluru, taekwondo dan beberapa acara terjun.


Ia selepas jumlah minimum enam negeri gagal dicapai menyebabkan penganjur tidak dapat meneruskan acara-acara tersebut.

Perkara ini amat menyedihkan memandangkan acara-acara yang digugurkan itu merupakan acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik.

SUKMA juga adalah satu platform buat mencungkil bakat-bakat atlet muda, jadi pengguguran acara-acara itu ibarat ‘membunuh’ bakat-bakat muda.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, perkara itu tiada kena mengena dengan sabotaj dan pihaknya sedang melakukan sesuatu supaya beberapa acara tersebut dapat dilangsungkan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga meluahkan kekecewaannya berikutan pengguguran acara taekwondo.

Sebelum ini juga sudah ramai atlet yang meluahkan kekecewaan mereka berikutan perkara itu termasuklah jaguh terjun negara, Datuk Pandelela Rinong namun perkara itu seakan-akan tidak diberi perhatian ketika itu.

Sepatutnya, pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan Majlis Sukan Negara (MSN) mendengar segala luahan oleh atlet-atlet dan badan-badan sukan negara.

Jika hanya mahu menunggu sehingga ‘orang atasan’ seperti Premier Sarawak yang bersuara baru mahu bertindak, ia seolah-olah menunjukan sikap ‘double standard’ oleh pihak berwajib.

Lagipun atlet dan badan sukanlah yang lebih arif tentang sukan masing-masing jadi pandangan mereka seharusnya dijadikan rujukan utama.

Terdahulu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail juga ada memberi bayangan bahawa beberapa acara yang dilaporkan digugurkan daripada senarai akhir akan dapat dianjurkan.

Namun setakat ini, masih belum ada pengesahan yang konkrit mengenai acara-acara tersebut.

Diharapkan pihak bertanggungjawab lebih peka dengan perkara ini demi masa depan acara-acara tersebut.