Bernardo Tavares yakin KL City ada 99% peluang menang, bimbang pengadil memihak lawan kerana pejabat AFC di KL
Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares menyifatkan KL City FC mempunyai 99% peluang untuk mara ke peringkat seterusnya apabila kedua-dua pasukan bertemu untuk perlawanan akhir Zon ASEAN Piala AFC Rabu ini.
Menurutnya, anak buahnya kini berada dalam keadaan yang amat penat akibat tidak cukup rehat kerana baru mengharungi aksi liga Sabtu lalu sebelum bergegas berangkat ke Kuala Lumpur.
“KL City ada banyak masa untuk rehat memandangkan aksi terakhir mereka adalah pada 18 Ogos lalu dan mereka tidak perlu melakukan perjalanan.
Tetapi kami akan berjuang habis-habisan kerana pemain saya dah tunjukkan sebelum ini bahawa dalam keadaan sukar mereka mampu lakukan perkara yang hebat,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya, selain daripada masa rehat yang panjang, KL City juga mempunyai penyerang import baru yang baik iaitu Jordan Mintah manakala ketua jurulatih, Bojan Hodak pula sudah mengenali beberapa pemainnya.
Beliau juga khuatir pengadil akan memberi kelebihan kepada KL City memandangkan Kuala Lumpur merupakan ibu pejabat bagi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Dalam pada itu, beliau berkata perlawanan Rabu ini adalah peluang buat pemain lain membuktikan kebolehan mereka selepas dua pemain pertahanan, Yuran Fernandes dan Agung Mannan digantung setelah menerima kad merah ketika menentang Kedah Darul Aman FC sebelum ini.
“Sudah tentu ia akan menjadi satu perkara baru buat kami kerana terpaksa bermain tanpa kedua-dua pemain ini tetapi ia boleh jadi peluang buat pemain lain menunjukkan kebolehan mereka.
Dari segi bertahan juga pasukan kami agak baik, kami hanya lepaskan tiga gol dalam lima perlawanan liga.”
Walaupun mengakui perlawanan tersebut akan menjadi sukar buat pasukannya, Tavares percaya mentaliti pemainnya kuat untuk menghadapi segala kesukaran.