Liga Asia Tenggara tak cukup kompetitif, sebab itu sukar bersaing dengan pasukan Asia Timur – Bojan Hodak
Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mengakui terdapat jurang yang ketara antara pasukan Asia Timur dan pasukan Asia Tenggara menyebabkan pasukan-pasukan di rantau ini tidak mampu bersaing apabila bertemu pasukan daripada Jepun dan Korea Selatan dalam saingan peringkat tertinggi Asia.
Menurutnya, kualiti liga antara kedua-dua region itu jelas berbeza di mana liga di Asia Timur berada di standard yang amat tinggi manakala liga di Asia Tenggara tidak cukup kompetitif.
“Sebagai contoh, apa yang berlaku (kekalahan besar kepada Urawa Red Diamonds dari Jepun) kepada Johor Darul Ta’zim dan BG Pathum United dalam Liga Juara-juara Asia (ACL) adalah disebabkan mereka tidak bermain perlawanan yang sukar dengan kerap di peringkat domestik!
Jadi tugas KL City adalah untuk menjadikan jurang ini lebih kecil kerana ketika ini JDT mendominasi Liga Malaysia,”
katanya.
Tambahnya, ia juga ada kaitan dengan pembangunan belia di dalam negara dan ia telah memberi kesan kepada pasukan kebangsaan.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan akan berdepan saingan sukar menentang PSM Makassar pada perlawanan akhir Zon ASEAN Piala AFC Rabu ini.
Beliau yakin aksi pertarungan esok akan menjadi lebih sengit dan menarik berbanding ketika kedua-duanya seri 0-0 di peringkat kumpulan Jun lalu.
“Ketika peringkat kumpulan, liga Indonesia belum bermula lagi dan kini PSM Makassar berada dalam posisi dan momentum yang baik dalam liga dan mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.”
Dalam pada itu, penyerang KL City, Romel Morales bertekad mahu menjaringkan gol pada perlawanan tersebut selepas gagal melakukan demikian pada perlawanan sebelum ini.
Katanya, walaupun tidak dapat menjaringkan gol, beliau berharap sumbangannya di atas padang penting dalam membantu KL City mencatatkan kemenangan.
“Apa yang penting adalah kemenangan, walaupun sesiapa saja yang menjaringkan gol, yang penting kami layak ke pusingan seterusnya.
Kami hampir jaringkan pada perlawanan sebelum ini jadi kami cuma harus mencuba dengan lebih untuk menembusi gawang mereka.”
Beliau juga gembira dengan kehadiran penyerang pinjaman daripada Terengganu FC II, Jordan Mintah yang banyak membantu dirinya dan juga pasukan.
Morales berkata, kehadiran Mintah memberinya ruang untuk bergerak lebih bebas di atas padang dan mengakui keserasian bersama pemain itu semakin baik.