Saifuddin lepaskan jawatan Setiausaha Agung FAM selepas setahun, empat calon hangat ganti kekosongan

1,123

Mohd Saifuddin Abu Bakar secara rasmi meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 31 Ogos ini selepas menjawat jawatan itu sejak 1 September 2021.

Menurut FAM, perletakan jawatan itu adalah disebabkan Saifuddin mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.


Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2021-2025 telah menerima peletakan jawatan tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Saifuddin atas khidmat cemerlang beliau sepanjang bersama FAM, termasuk penganjuran perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023.

Walapun Saifuddin hanya akan melepaskan jawatan itu pada hujung bulan ini, FAM dikhabarkan telah menyenarai pendek pengganti bagi mengisi kekosongan itu.

Empat nama yang kuat dikaitkan dengan jawatan itu iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Noor Azman Rahman, Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurrahman dan Pengarah Pentadbiran dan Kewangan FAM, Saeidahtun Abdullah.

Kesemua nama ini tidak asing dalam bola sepak negara berdasarkan jawatan yang pernah dan juga yang sedang dipegang oleh mereka.

Namun, dari segi pengalaman sudah tentulah Shahidan memiliki kelebihan daripada calon-calon lain.

Paling diingati sudah tentu ketika beliau menjadi presiden Perlis FA pada 1998 hingga 2012 iaitu zaman kegemilangan pasukan itu.

Di bawah pimpinannya, Perlis berjaya merangkul beberapa kejuaraan iaitu Piala Malaysia 2004 dan 2006, Liga Super 2005, serta Piala Sumbangsih 2007 dan 2008, selain layak ke Piala AFC pada 2006.

Beliau juga mempunyai pengalaman menjawat jawatan dalam dua jawatankuasa kecil FAM sebelum ini.

Selain itu, beliau turut menjawat beberapa jawatan penting dalam badan sukan lain seperti Presiden Persekutuan Renang Malaysia dan Persekutuan Olahraga Malaysia.

Baru-baru ini, Shahidan juga dilantik oleh Kelab Bola Sepak Bandaraya Kuala Lumpur (KL City FC) sebagai Penaungnya.

Selain Shahidan, Noor Azman juga adalah seorang nama yang tidak asing dalam FAM kerana pernah menjadi Pegawai Khas Presiden FAM sebelum ini.

Beliau juga pernah melibatkan diri di persatuan bola sepak negeri dengan memegang jawatan penting dalam MUSA.

Dua lagi nama iaitu Abang Zulkarnain dan Saeidahtun turut dipertimbangkan atas pengalaman mereka bersama badan induk tersebut.

Mengenai masa depan Saifuddin, beliau mungkin akan berhijrah ke badan induk bola sepak antarabangsa seperti Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) kerana mempunyai pengalaman sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau badan itu sebelum ini.

Beliau juga pernah menjadi komisioner bagi AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), selain berkhidmat untuk Qatar Stars League dan juga Oman FA.