Richard Chin menyinar di Carabao Cup, prospek terbaik untuk skuad B-23 negara

606

Pemain kacukan Malaysia-England, Richard Chin yang kini beraksi bersama kelab Charlton Athletic FC di EFL League One berjaya mempamerkan aksi memukau selepas diturunkan pada pusingan ketiga Piala Carabao.

Charlton Athletic berjaya menewaskan Walsall FC 1-0 untuk melayakkan diri ke pusingan ketiga piala tersebut.


Pada perlawanan tersebut, Chin telah diturunkan oleh ketua jurulatih pasukan, Ben Garner selama 81 minit sebelum digantikan dengan pemain tengah, Sean Clare.

Sepanjang aksi tersebut, pemain berusia 19 tahun yang diletakkan di bahagian pertahanan kanan ini telah berjaya menghasilkan satu peluang serta melakukan satu percubaan tepat ke arah gawang lawan.   

Terdahulu, pemain ini turut disenaraikan pada saingan liga ketika aksi bertemu Cambridge United yang berakhir dengan keputusan seri namun hanya diletakkan di bangku simpanan.

Chin merupakan antara pemain kacukan muda negara yang semakin meningkat naik bersama pasukannya.

Kebolehan serta kualiti yang dimiliki oleh pemain ini melayakkan beliau dianggap sebagai salah seorang prospek terbaik yang perlu dibawa masuk bagi memperkuatkan lagi pasukan B-23 negara selepas ini.

Chin mula menyertai akademi Charlton Athletic pada usia enam tahun sebelum mengikat kontrak profesional bersama kelab tersebut pada tahun 2021.

Pengalaman beliau beraksi di dalam saingan kompetitif bersama kelab tersebut sedikit sebanyak mampu membantu meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Muda.

Kemampuan beliau beraksi di bahagian tengah serta pertahanan adalah amat berguna untuk mengisi kekosongan yang terdapat dalam pasukan muda negara.

Kehadiran pemain versatile seperti ini akan menjadi penambahan terbaik kepada pasukan menjelang aksi di beberapa saingan utama selepas ini.

Prestasi hambar skuad muda negara pada beberapa kejohanan sebelum ini terutama sekali di Piala Asia B-23 2022 dilihat berpunca daripada ketiadaan pemain yang mampu mengemudi bahagian tengah dengan baik dan tersusun.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memulakan proses untuk memanggil serta melengkap dokumentasi pemain-pemain kacukan ini bagi membolehkan mereka beraksi beraksi untuk negara dalam masa terdekat.

Sebelum ini, pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine pernah dipanggil oleh bekas jurulatih B-23 negara, Brad Maloney untuk menyertai kem latihan pusat pada April lalu.

Namun khidmat pemain tersebut gagal didapatkan selepas proses dokumentasinya tidak tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Masalah sebegini merencatkan proses dalam meningkatkan kualiti pasukan muda negara yang dilihat gagal mempamerkan aksi terbaik.

Sehingga ke hari ini, masih belum ada perkhabaran positif berkenaan urusan dokumentasi pemain-pemain kacukan ini.

Pada masa yang sama, FAM bakal mengumumkan ketua jurulatih baharu yang bakal dipilih untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Maloney dalam masa terdekat.

Tindakan yang lebih proaktif dalam menyelesaikan proses dokumentasi ini perlu dijadikan antara fokus utama oleh barisan kejurulatihan baharu sejurus dilantik.