Pernah dianggap salah seorang bek terbaik negara, Zubir Azmi kini hanya menghitung hari di Kelantan FC

2,947

Selepas berhijrah ke Kelantan FC musim lalu, bekas pemain pertahanan kebangsaan, Zubir Azmi dilihat jarang diturunkan dengan hanya mencatatkan enam penampilan hingga ke hari ini.

Nasibnya juga tidak baik apabila mengalami kecederaan pada awal musim ini menyebabkan beliau tersisih lama.


Baru-baru ini, beliau memberi bayangan seolah-olah akan berhijrah ke kelab lain musim depan menerusi Instastory ketika menjawab pertanyaan penyokong.

Ketika ditanya oleh penyokong bila beliau akan beraksi semula bersama Kelantan, Zubir hanya menjawab :”hanya kenangan”.

Instastory yang dimuatnaik oleh Zubir Azmi baru-baru ini.

Ia mungkin adalah ‘hint’ daripadanya menandakan beliau sudah tidak akan bermain lagi musim ini dan akan berhijrah ke pasukan lain musim depan.

Namun tiada penjelasan lanjut mengapa beliau berkata demikian dan beliau hanya memberi kata-kata sokongan terhadap pasukan dan ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya.

Jika perkara ini benar, ia adalah peluang buat kelab-kelab lain menyambar beliau bagi memperkuatkan pasukan.

Mungkin ramai yang masih lagi ingat zaman kemuncaknya ketika bersama Terengganu pada 2010 hingga 2016 dahulu.

Ketika itu, beliau dianggap sebagai salah satu bek kiri terbaik negara dan pernah terpilih menyarung jersi Harimau Malaya sebanyak 27 kali.

Zubir juga merupakan salah seorang pemain dalam skuad Harimau Muda yang membawa pulang emas ketika Sukan SEA 2011.

Tahun ini, beliau berusia 31 tahun dan dipercayai masih boleh bermain untuk dua atau tiga tahun lagi.

Sekiranya beliau mampu mengulang kembali prestasinya semasa di Terengganu, mana-mana kelab pasti beruntung mendapatkannya.