Jersi Ipswich Town dapat sentuhan Ed Sheeran, strategi pemasaran baik luaskan pengaruh kelab

463

Kelab League One dari English Football League, Ipswich Town baru-baru ini melancarkan jersi ketiga bagi musim 2022/2023 bertemakan ‘blackout’ – yang mendapat sentuhan penyanyi pop terkenal Britain, Ed Sheeran.

Ed Sheeran yang merupakan peminat setia kelab itu sejak sekian lama dan turut menaja kelab itu berkata, beliau diminta untuk mereka rekaan jersi tersebut.


Peminat nampaknya menyukai rekaan selebriti itu kerana jualan jersi tersebut dilaporkan amat memberangsangkan sehingga ramai yang terpaksa menunggu untuk membeli secara atas talian.

Di Malaysia, Selangor FC juga ada mengeluarkan jersi ketiga musim ini dengan kolaborasi bersama penyanyi rap terkenal negara, Altimet.

Bukan sahaja jersi, kolaborasi itu turut menampilkan lagu istimewa yang bertajuk ‘Langgam Gendang Perang’ yang dicipta khusus untuk skuad The Red Giants.

Kolaborasi seperti ini adalah sesuatu yang baik dari segi strategi pemasaran untuk menarik penyokong membeli barangan pasukan.

Dengan populariti yang dimiliki oleh kelab, ditambah pula dengan ‘aura’ selebriti tersebut, sudah tentu lebih ramai orang, termasuk yang tidak meminati bola sepak, akan lebih tertarik.

Penyanyi legenda negara, M. Nasir juga tidak terkecuali daripada melibatkan diri dalam bidang e-sukan baru-baru ini apabila pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) tempatan, RSG mengumumkan beliau menyertai pasukan itu sebagai pemain.

Berita itu membuatkan ramai pihak yang terkejut dan tertarik, termasuk mereka yang langsung tidak mengambil tahu mengenai perkembangan e-sukan.

Lihatlah bagaimana ‘aura’ yang dimiliki sifu muzik negara itu mampu meluaskan lagi populariti pasukan itu dalam kalangan peminat muzik.

Mungkin satu hari nanti, akan ada kolaborasi seperti jersi dan lagu yang dicipta oleh M. Nasir untuk pasukan RSG.

Ini juga adalah satu perkembangan yang baik buat arena e-sukan negara yang seringkali dipandang serong oleh golongan yang lebih tua terutama ibu bapa.