Le Tour de Langkawi kembali menemui peminat di Malaysia selepas setahun, peluang pasukan negara menyinar

623

Jelajah basikal dunia, Le Tour de Langkawi (LTDL) akan kembali diadakan pada 10 hingga 18 Oktober tahun ini.

Perkara ini jelas menggembirakan para peminat sukan berbasikal negara selepas kejohanan tersebut terpaksa dibatalkan pada tahun lepas ekoran daripada penularan wabak COVID-19 yang sangat kritikal.


Acara jelajah ini merupakan antara acara utama yang turut disenaraikan dalam Jejalah Asia Persatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Pada tahun 2020, ia telah diiktiraf sebagai salah satu jelajah UCI ProSeries yang merupakan tier kedua dalam siri jelajah berbasikal jalan raya bagi kategori lelaki elit.

Terdapat beberapa gelaran yang menjadi pertaruhan dalam kejohanan ini adalah juara keseluruhan, raja pecut, raja bukit dan pelumba Asia terbaik.

Di samping itu, dua kategori tambahan juga akan diberikan kepada pasukan terbaik serta pasukan Asia terbaik yang menunjukkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung.

Meskipun trek jelajah sering berubah setiap tahun, cabaran utama mendaki Genting Highland akan kekal menjadi halangan terbesar yang akan ditempuh oleh para pelumba pada setiap edisi.

Tahun ini merupakan kali ke-26 jelajah ini diadakan selepas pertama kali dilangsungkan pada tahun 1996.

Untuk edisi tahun ini, tiga pasukan daripada Malaysia iaitu pasukan kebangsaan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team (TSC) akan menjadi wakil negara pada kejohanan kali ini.

Ini akan menjadi peluang terbaik kepada pasukan dari negara untuk mendominasi kejohanan ini seperti mana yang pernah dilakukan pada tahun 2020 selepas pelumba dari TSC mendominasi beberapa kategori.

Pelumba TSC, Danilo Celano dari Itali berjaya menjadi juara keseluruhan manakala rakan sepasukannya, Muhamad Nur Aiman berjaya dinobatkan sebagai raja bukit pada edisi terakhir.

Momentum kecemerlangan pasukan Dari Malaysia ini diharap dapat diteruskan kali ini tatkala sebuah lagi pasukan, TSG juga sedang melakukan persiapan rapi menuju ke LTDL.

Baru-baru ini, pasukan TSG telah mempamerkan aksi menyakinkan di Turki selepas pelumba pasukan tersebut mendominasi Grand Prix (GP) Develi.

Pelumba import TSG, Jambaljamts Sainbayar dari Mongolia unggul selepas menamatkan perlumbaan sejauh 111.8 kilometer tersebut dalam tempoh dua jam 28 minit 48 saat menerusi kayuhan bertenaga yang dilakukan oleh beliau.

Kehadiran pelumba berpengalaman seperti ketua pasukan, Zamri Saleh di dalam pasukan mampu menjadikan pasukan ini selaku pesaing yang cukup hebat pada edisi kali ini.

Pada masa yang sama, harapan akan terus diletakkan kepada pasukan TSC untuk meneruskan rentak kecemerlangan mereka.

Lambakan pelumba muda berkualiti yang mewakili pasukan ini seperti juara Kejohanan Berbasikal Kebangsaan, Muhsin Al Redha Misbah mampu memberi impak yang positif kepada TSC untuk meneruskan dominasi.

Selain Muhsin, TSC turut memiliki sebuah pasukan yang boleh dianggap lengkap ditambah dengan adanya juara bertahan kejohanan, Celano bagi memperkuat pasukan.

Kejohanan tahun ini dijangka semakin meriah ekoran daripada jumlah peminat sukan berbasikal yang semakin bertambah di Malaysia ketika ini.