Selebriti jadi pemilik kelab, penglibatan Raffi Ahmad warnai arena bola sepak Indonesia
Di Indonesia, nama Raffi Ahmad sememangnya amat terkenal kerana pelbagai kejayaan yang dikecapinya dalam bidang hiburan.
Beliau juga terkenal dengan kekayaannya sehingga digelar Sultan Andara, iaitu kawasan kediamannya.
Selepas lama berkecimpung dalam bidang hiburan, beliau ‘terjun’ dalam bidang bola sepak dengan pembelian kelab Cilegon United tahun lalu.
Beliau kemudian mengubah nama kelab menjadi RANS Nusantara dan berjaya membawa kelab itu naik ke Liga 1 musim lalu.
Ketika beliau mengambil alih kelab itu, boleh dikatakan ia sesuatu yang mengejutkan kerana ia merupakan tindakan yang tidak dijangka.
Tetapi, beliau bukanlah selebriti pertama yang melibatkan diri dengan kelab bola sepak. Di Eropah terutamanya, ramai selebriti yang menjadi pemilik atau memegang jawatan besar dalam kelab bola sepak.
Antaranya adalah David Beckham yang merupakan pemilik Inter Miami, bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi (pemilik AC Milan), bekas bintang NBA, Michael Jordan (pemilik kelab bola keranjang, Charlotte Hornets), penyanyi Britain, Elton John (bekas pemilik Watford).
Mungkin ada yang membeli kelab bola sepak kerana betul-betul minat tetapi ada juga yang menjadikan kelab bola sepak sebagai sumber perniagaan mereka.
Penglibatan Raffi Ahmad dalam bola sepak juga tidak dinafikan dapat memeriahkan lagi bola sepak di negara itu kerana pernah membawa bintang ternama, Ronaldinho ke negara itu dalam majlis pelancaran jersi kelab.
Selain itu, pengaruh yang dimilikinya amat besar sehinggakan mampu mengajak bekas pemain England, Michael Owen untuk menyambut hari lahir anaknya.
Malah, beliau juga mempunyai hubungan baik dengan selebriti Malaysia seperti Anna Jobling dan juga Meerqeen yang ditemui baru-baru ini.
Dengan pengaruh besar dan kekayaan yang dimilikinya, mungkin satu hari nanti RANS Nusantara mampu berdiri sama tinggi dengan gergasi-gergasi Indonesia seperti Bali United dan Persija Jakarta.