Jordan Mintah tidak mahu beri komen tentang masa depan, hormati kontrak sebagai pemain Terengganu FC
Penyerang pinjaman Kuala Lumpur City FC, Jordan Mintah tidak ingin mengulas dengan lebih lanjut tentang masa depannya bersama pasukan ibu kota tersebut.
Mintah yang mula dipinjamkan Jun lalu dijadual kembali ke pangkuan kelab asalnya pada penghujung musim ini.
“Saya perlu menghormati Terengganu FC, saya masih mempunyai kontrak bersama pasukan tersebut dan tidak boleh berkata apa-apa cuma mengikuti segalanya buat masa ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain berusia 26 tahun itu telah berjaya membantu pasukan KL City untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC Antara Zon.
Satu jaringan beliau di babak pertama perlawanan telah menyemarakkan lagi semangat pasukan untuk terus melakukan asakan demi asakan sehingga ke penghujung perlawanan.
Selain cemerlang di Piala AFC, Mintah juga berjaya membantu pasukan ini di dalam saingan liga selepas berjaya menjaringkan dua gol selepas diturunkan dalam lima perlawanan diturunkan.
Meskipun semakin digemari oleh peminat KL City, Mintah tidak melupakan sokongan dan dorongan yang pernah diberi sebelum ini oleh penyokong Sang Penyu sepanjang beliau beraksi bersama pasukan Terengganu FC.
“Ke mana saya pergi, penyokong Terengganu tetap menyayangi saya, saya hanya ingin memberikan yang terbaik dan terus berikan aksi yang bagus bersama mana-mana pasukan sekalipun.
Bola sepak adalah cara saya, jadi saya perlu lakukan yang terbaik di mana-mana sahaja.” kata Mintah.
Walaupun gagal beraksi dengan baik pada permulaan perlawanan, Mintah kembali menemui sentuhan pada babak kedua selepas beberapa gerakannya ke arah gol berjaya menghadiahkan peluang merbahaya kepada pasukan.
Lautan penyokong yang hadir untuk membanjiri Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras jelas menjadi antara pembakar semangat untuk pasukan ini mendominasi permainan.
Kelincahan Mintah juga berjaya menghadiahkan penalti pada minit akhir perlawanan yang disempurnakan oleh penyerang, Hadin Azman untuk melengkapkan malam gemilang buat pasukan KL City.
Khidmat Mintah akan terus ditagih bagi membantu pasukan pada aksi Liga Super bertemu Sabah FC di Stadium Likas pada 1 September ini.